Rezeki Itu Bukan Dari Usaha

Ambe dikenalkan oleh seorang sahabat peguam dengan seorang pemilik rumah. Temujanji di rumah yang ingin dijual, sebuah pangsapuri 3 bilik. Penjual ambe panggil Abang Abu dan isterinya Kak Intan (kedua-dua bukan nama sebenar). Ambe cukup senang dengan keluarga pemilik ni, mereka ini orang baik-baik, petah cakap sungguh berhalus. Mereka juga baya-baya ibu bapa ambe. Ambe dapati Abang Abu tidak berapa sihat, lututnya ada ‘Ahtritis’, belakang badan pernah mengalami ‘Slip Disc’. Katanya, lutut perlukan pembedahan dan fisioterapi.

Tentang Rumah

Pemilik bercerita bahawa rumah ini pernah cuba dijual setahun sebelum, tetapi malangnya urusan jual beli terbatal kerana pembeli tidak layak pinjaman. Beberapa kali cuba, tetapi tiada sambutan. Rumah ini sudah kosong hampir 2 tahun. Ambe periksa keadaan rumahnya. Untuk rumah tingkat yang paling atas di sesebuah pangsapuri, bocor siling paling merunsingkan ambe. Setelah diperiksa, alhamdulillah keadaan rumah baik. Cuma bila masuk ke rumah ini, nampak macam lama tak berpenghuni.

Jual Rumah Bukan Harga

Kelebihan rumah ini adalah dari segi harganya. Ambe semak pasaran sekitar, harga yang diminta memang kompetitif. Tetapi mengikut pengalaman, harga adalah ciri rumah yang paling akhir ambe ingin tawarkan kepada prospek. Kalau boleh ambe mahu jual rumah itu sendiri, fasilitinya atau kawasan sekitarnya. ‘Menjual’ harga ni memang susah – pemilik jarang menang.

Ambe pasarkan rumah Abang Abu di medium-medium pengiklanan. Untuk tidak ‘menjual’ harga, ambe sasarkan jualan rumah ini kepada penduduk setempat. Mereka yang biasa dengan pangsapuri ni. Alhamdulillah, beberapa hari selepas diiklankan panggilan diterima daripada seorang prospek.

Ambe semak latar belakang prospek, semua ok. Pendapatan mereka ok, ada deposit dan mereka pun tinggal di apartment yang sama. Ketiga-tiga kriteria ini adalah penting sebelum sesorang perunding hartanah meneruskan usahanya untuk membantu prospek mendapatkan rumah.

Konflik

Temujanji diadakan pada 9 malam. Ambe nampak mereka serius, diteliti satu persatu keadaan rumah. Prospek yang dah tahu lokasi dan pelan rumah selalunya tak main-main. Tetapi tidak disangka, mereka katakan ada kesan pecah (‘crack’) di tepi tingkap yang tidak ambe ketahui. Ini memang silap ambe, sepatutnya ambe teliti betul-betul dan bersedia. Bila terjadinya keadaan sebegini, seseorang perunding hartanah tu kena bertenang. Yang paling teruk jika perunding hartanah berada dalam ‘state of denial’ dan berdebat dengan pembeli.

Ambe iyakan memang ada ‘crack’. Tetapi ambe terangkan mengikut pengalaman, crack ini ada dua jenis. Yang kita tidak mahu ialah pecah struktur. Pecahan daripada kesan cat tak mengapa kerana boleh dicat balik atau ditampal. Nak periksa senang sahaja, tengok bahagian belakang bangunan adakah terdapat kesan pecah yang sama. Ambe buka tingkap dan dapati tiada kesan. Akhirnya prospek yakin dan bersetuju.

Khabar Gembira

Ambe terangkan proses dan prospek ingin membuat belian. Dimintanya esok untuk buat bayaran wang tanda jadi dengan syarat pemilik bersetuju dengan harga yang ditawarkan. Dalam keadaan begini, ambe kira eloklah jika prospek meletakkan dahulu sedikit wang daripada wang tandajadi. Ambe malu nak berunding dengan pemilik jika tiada komitmen. Kalau tiba-tiba pembeli batalkan pembelian memang tak tahu nak letak mana muka ni.

Ambe minta RM1000. Pembeli kata tiada wang sebanyak tu, bank pula sudah tutup kerana sudah lewat malam. Ambe minta mereka buat bayaran dengan berapa yang ada. RM500 sahaja kata mereka. Berat hati ambe nak ambil wang sebanyak tu kerana masih berisiko. Tetapi ambe terima atas dasar percaya.

Rezeki Yang Tertahan

Keesokan hari ambe beritahu pemilik. Pemilik bersetuju dengan harga yang ditawar. Ambe jumpa mereka untuk tandatangan surat tawaran. Seronok lihat mereka gembira dan ambe rasa kepuasan kerana dapat membantu. Sedikit sebanyak ambe kira jualan ini boleh bantu Abang Abu untuk pembedahannya. Ambe beritahu pembeli dan mereka bersetuju untuk jelaskan baki wang tanda jadi secepat mungkin.

Tetapi malang tidak dijangka. Selang sehari, pembeli hubungi ambe kemudiannya kata tak jadi beli. Tidak pula dikatakan mengapa, hanya tak jadi beli. Ambe sungguh marah, ambe berikan nombor pemilik dan meminta mereka mohon maaf. Sungguh, pemilik ni orang baik-baik, ambe kecewa menghampakan mereka. Ambe hubungi Abang Abu, dia tenang sahaja dan minta ambe teruskan pengiklanan.

Iklan diteruskan, tetapi rumah ini tidak mendapat sambutan bulan berikutnya. Ambe tukar langkah, kali ini ambe gantung ‘banner’ di hadapan unit, dengan harapan ada penghuni pangsapuri ini yang berminat. Masalah dengan ‘banner’ ni ianya susah kelihatan kerana pangsapuri ini menghadap hutan di bahagian tingkap. Ambe hanya boleh gantung dipintu depan.

Ada hasil selang beberapa minggu. Beberapa prospek hubungi. Tapisan dibuat, tetapi bila bawa untuk lihat rumah, tak berminat untuk beli. Respon katanya kerana keadaan rumah. Ambe bawa penyapu pula kemudiannya sapu debu mana yang terlarat.

Di Sudut Yang Lain

Prospek seterusnya adalah penghuni blok sebelah. Ambe hubungi Kak Intan sebelum bawa pembeli tengok rumah. Dia mengadu yang rumahnya susah nak terjual dan mahu minta anaknya pergi bacakan surah Al-Baqarah di rumah tersebut. Sepanjang ambe iklankan rumah ini dengan pelbagai cara, ambe tak terfikir pula apa yang Kak Intan cadangkan. Ambe tawarkan untuk penuhkan hajat Kak Intan.

Pada hari temujanji, ambe dapat rasa yang pembeli ini tak suka dengan keadaan rumah. Sangkaan ambe betul keesokkannya bila dikhabarkan rumah tersebut ‘rasa semacam’.

Baliknya prospek tadi, ambe bersila di atas lantai rumah memenuhi hajat Kak Intan. Harapan ambe satu sahaja: ambe ingin betul bantu pemilik ini.

Tapi kelakar juga bila Kak Intan tanya ambe “Masa baca tu takde rasa panas-panas ke. Ye la rumah dah lama tinggal..”. Ambe tergelak sahaja dan katakan tidak (cemas tidak dinafi).

Ambe tak percaya rumah tak dijual kerana unsur-unsur ‘mistik’. Tetapi cadangan Kak Intan tu suatu kesedaran buat ambe. Usaha ini mungkin terputus dengan Pencipta. Mungkin kerana itu ia tidak dipermudahkan, tidak dimakbulkan. Mungkin juga kerana kaffarah untuk diri ambe.

Yang Terakhir

Pembeli seterusnya merupakan pembeli rumah pertama yang bakal melangsungkan perkahwinan. Dia juga penduduk sekitar pangsapuri tersebut. Alhamdulillah urusan kali ini sungguh mudah. Masalah prospek tiada wang pendahuluan diselesaikan dengan cara pengeluaran KWSP. Pertanyaannya ambe jawab sempurna.

Setelah berunding, dia kemudian setuju untuk buat belian. Harga jualan pula lebih tinggi daripada apa yang pemilik tetapkan. Abang Abu tandatangan surat tawaran dengan lega. Dia baru sahaja menjalankan pembedahan lutut untuk keluarkan hablur di sendinya. Ambe harap dengan terjualnya rumah sedikit sebanyak membantu.

Bukan Usaha

Kes kali ini banyak memberi pengajaran kepada ambe. Bukan usaha yang paling penting sebenarnya.

Tetapi adapun usaha tersebut, mestilah ia diiringi dengan doa, tawakkal dan pengharapan kepada Ilahi. Kalau ianya terputus, mungkin tidak sampai ke tempat tujuan. Mungkin juga sampai kepada matlamat, rumah terjual, tetapi ia boleh juga jadi satu ujian dalam bentuk istidraj. Apa jua usaha mesti ikhlas, tali yang menyambungkan kita dengan Pencipta juga tidak boleh putus.

1 thought on “Rezeki Itu Bukan Dari Usaha

  1. Assalamualaikum en arif..t.ksh krn krn mnyediakn satu platform serta info berguna tntng ilmu hartanah ni.sedikit sebnyak membuka minat saya untuk mendalami serta berminat menyertai kerjaya perunding hartanah ni.bukan mengejar income semata2 tp sebagai legasi mnyambung kerjaya saya yg dahulu terhenti dlm bidang yg berasaskn marketing juga..

Leave a Comment

Langgan Panduan Hartanah. Percuma.

Dapatkan panduan hartanah dan senarai rumah bawah nilai pasaran terus ke e-mel. Percuma. Janji tiada spam.