Cara Menjadi Ejen Hartanah Dan Jana RM10,000 Sebulan

Anda boleh jadi ejen hartanah berjaya. Selepas 8 tahun berada dalam industri ini, saya yakin sesiapa sahaja boleh berjaya. Cuma anda mesti dapat nasihat yang betul dan itulah tujuan artikel ini. Artikel ini ada dua bahagian yang mana selepas anda ikuti, anda akan dapat gambaran awal macam mana cara nak menjadi ejen hartanah berjaya dan jana sekurang-sekurangnya RM10,000 sebulan.

Mula Melangkah

Setiap orang yang mulakan kerjaya ni, ceritanya berbeza. Sesetengah kita keadaannya baik, ada kerja dan pendapatan. Sebahagian dalam keadaan getir dan kewangan mereka tak stabil. Kita semua mencari peluang. Tapi tak kira macam mana permulaan anda, anda kena ingat pesan saya ni…

Jangan Ada Target Kecil

Masa saya mula kerjaya ni, seorang coach hartanah tanya saya “Arif, berapa pendapatan yang kamu nak dari bidang ni sebulan?”.

Saya beritahu saya perlu RM4,000 kerana amaun ni cukup untuk saya dan keluarga. Masa tu pun saya masih kerja dan buat kerja perunding hartanah ni part time.

Coach tu gelak. Saya hairan.

“Arif, perkara paling penting dalam bidang ni, jangan ada target kecil. Target RM4,000 tu tak salah, tapi target yang kecil akan lahirkan tindakan yang kecil”.

Saya awalnya tak percaya dengan apa yang dia beritahu. Bunyi macam sembang cliche.

Dan realiti menggigit…bulan-bulan berikutnya saya tak ada jualan.

Keadaan bertambah parah bila saya terima amaran dari agensi. Mereka akan terminate saya…cerita ni saya akan sambung di hujung artikel nanti.

Cuma nak beritahu…

Kebanyakan yang masuk bidang hartanah tak ada matlamat yang jelas. Mereka tak mahu belajar, jatuh dan kemudian keluar industri.

Kalau anda nak sertai bidang ni, tetapkanlah azam dan matlamat yang besar. Matlamat ni percuma. Tapi yang paling penting, tindakan dari matlamat tu akan menyusul.

RM10,000 sebulan adalah realistik untuk anda capai dalam masa 6 bulan ke setahun. Ianya tak mustahil dan saya akan terangkan macam mana.

Cuma sebelum kita pergi ke situ, anda kena tahu dulu…

Macam Mana Buat Duit Dengan Kerja Ni

1) Melalui Komisyen Jualan / Sewaan

Kerja ejen hartanah ni boleh bagi hasil yang besar. Itu saya tak nafi. Inilah tarikan utama kenapa ramai yang tertarik dengan bidang ni.

Sebagai ejen hartanah, tugas kita adalah untuk pastikan jual beli atau sewaan hartanah berjaya. Bila berjaya, kita dapat komisen jualan yang mana dikira dari harga rumah.

Contoh kata anda berjaya jual satu unit rumah berharga RM500,000 dan komisyen pula ialah 3% (ini komisyen standard pasaran di Malaysia). Ini bersamaan RM15,000.

Daripada RM15,000 ini anda akan kongsi dengan agensi. Nisbah perkongsian ini bergantung kepada senioriti. Katakan anda layak terima 60% daripada jumlah komisyen tersebut, pendapatan anda ialah RM9,000.

Besar kan? Itu pun baru satu jualan. Bayangkan kalau anda jual 2-3 kes sebulan.

Tapi komisen bukanlah satu-satunya pendapatan yang anda boleh buat dari kerjaya ni…

2) Melalui Pendapatan Sampingan Lain

Anda juga boleh dapat pendapatan sampingan lain. Dan pendapatan sampingan ni bukan sikit.

Dalam belian atau jualan rumah, pembeli dan penjual bukan setakat perlukan khidmat ejen hartanah. Mereka juga mungkin perlukan:

  • Peguam
  • Kontraktor untuk ubahsuai rumah
  • Servis untuk untuk baik pulih atau selenggara rumah
  • Alat sekuriti dan kawalan serangga

Kita boleh kenalkan mereka dengan pembekal servis yang kita rasa boleh buat kerja. Biasanya pembekal servis ni akan tawarkan kita fi perujuk (referral fee).

Kalau seorang perunding hartanah tu aktif dalam jual beli, saya boleh kata sebulan dia boleh terima sekitar RM3,000 ke RM4,000 sebulan daripada fi perujuk sahaja.

Kita juga ada advantage yang orang lain tak ada…

Kita adalah orang yang paling dekat dengan pasaran hartanah dan tahu peluang pelaburan lebih awal berbanding orang lain.

Setengah ejen hartanah dia gunakan peluang kerjaya ni untuk melabur. Dan kebanyakan mereka adalah pelabur hartanah yang berjaya.

Jadi anda nampak sekarang potensi kerjaya ni? Tunggu dulu. Itu bukan semuanya. Mari saya terangkan tentang…

Kelebihan Menjadi Ejen Hartanah

1) Potensi Pendapatan Lumayan

Saya dah terangkan kat atas tentang pendapatan seorang ejen hartanah. Dalam bidang ini bukan perkara pelik sebenarnya, seorang perunding hartanah berjaya boleh dapat RM20,000 ke RM30,000 sebulan. Selain daripada komisen, dia juga boleh dapat pendapatan sampingan lain dan boleh jadi seorang pelabur hartanah.

2) Kerja Ini Mencabar Tapi Tidak Terlalu Sukar

Saya juga tak segan beritahu, peluang kita untuk berjaya dalam bidang ni lebih mudah berbanding kerjaya lain. Ini kerana jalannya agak jelas: kalau kita pasarkan listing yang boleh laku, kita akan ada jualan. Peranan kita dalam closing masih besar tapi listing yang baik akan terjual dengan sendiri.

Kadang-kadang walaupun seorang perunding hartanah tu tak mahir dalam closing, pendiam dan tak pandai bina hubungan, dia masih boleh buat jualan konsisten kerana dia berjaya dapat listing yang baik dan dia bertindak.

Ini beza kalau kita jual produk lain macam insuran contohnya. Nak yakinkan pelanggan tu saya rasa mungkin susah sikit kerana kita jual benda tak nampak dan kita mesti ada banyak pengetahuan tentang produk dan keperluan pelanggan.

Tapi saya taklah kata kerja ni senang. Ianya mencabar dan ada liku-liku yang kita kena hadap terutama bila kita baru dalam bidang ni. Dan kita juga kena ingat, bila klien minta kita urus jual beli hartanah mereka, ianya adalah amanah yang besar. Kalau kita berjaya bantu mereka, ini sekaligus akan berikan kita rasa….

3) Kepuasan Kerja

Kebanyakan orang biasa hanya jual atau beli rumah sekali atau dua kali seumur hidup mereka. Keputusan nak jual beli rumah ni adalah keputusan yang sangat penting.

Klien mungkin beli rumah pertama, atau dia jual rumah kerana nak beli rumah baru. Ada yang lebih serius. Nak beli rumah untuk mak ayah. Atau jual kerana masalah kewangan.

Dalam kata pendek, jual beli hartanah melibatkan impian jangka panjang. Dan tugas adalah menjadi tugas kita untuk penuhi impian tu.

Bila kita beri khidmat nasihat yang betul dan kita berjaya bantu mereka, saat kita lihat betapa gembiranya mereka dapat kunci rumah atau dapat jual rumah, ianya adalah satu kepuasan yang tak dapat kita beli dengan wang ringgit.

4) Masa Fleksibel

Semua kelebihan yang saya sebut tadi juga datang dengan masa yang fleksibel. Kita tentukan sendiri masa kerja kita. Kita tak terikat dengan waktu pejabat dan insyaAllah kita akan ada lebih waktu untuk keluarga dan anak-anak.

5) Modal Rendah

Selain itu, modal kerja bidang ni juga secara relatif, lebih rendah berbanding kita cuba kerjaya atau bisnes lain. Paling minimum nak jadi perunding hartanah, kita hanya perlu bayar kursus perunding hartanah, yuran penyertaan agensi dan ada modal sikit untuk jalankan kerja.

6) Kawal Masa Depan

Dan yang paling penting sekali, kita boleh tentukan hala tuju karier kita. Bukan lagi bos atau majikan. Kita bertanggungjawab sepenuhnya dekat mana kita satu hari nanti. Kalau usaha sungguh-sungguh, insyaAllah kita akan berjaya. Kalau malas, kita gagal.

Best kan kerja ni? Tak juga. Apa jua kerja sekalipun dah tentu ada cabaran dia. Saya akan terangkan yang ni nanti. Tapi sebelum tu, jom saya kongsikan macam mana….

Tugas Ejen Hartanah

1) Dapatkan Lead Penjual

Sebagai perunding hartanah, kita beri khidmat kepada dua jenis pelanggan iaitu pemilik dan pembeli hartanah.

Dalam kata pendek, kita dapatkan hartanah untuk kita jual dari pemilik, ini kita panggil sebagai listing, dan dapatkan pembeli untuk listing tu. Bunyi macam mudah, tapi langkah kerja ni ada banyak.

Pertama sekali kita buat kerja untuk dapatkan listing. Kerja ni kita panggil prospecting yang mana kita cari pemilik yang berminat nak jual rumah dan guna khidmat agensi kita.

2) Buat Analisis

Bila kita dah dapat pemilik yang berminat untuk guna servis kita, semak hartanah mereka untuk pastikan rumah tersebut kompetitif untuk kita pasarkan. Kemudian, kita sampaikan analisis kita kepada pemilik dan beri nasihat supaya rumah boleh terjual.

3) Inspection

Bila pemilik setuju, buat temu janji dengan mereka untuk periksa keadaan hartanah. Langkah ini kita panggil sebagai inspection.

Semasa inspection,bina hubungan dengan pemilik dan terangkan proses jualan rumah kepada mereka. Kita juga ambil gambar rumah dan kaji keadaan hartanah mereka. Kita beri nasihat yang patut supaya rumah boleh terjual. Di akhir inspection, dapatkan lantikan jualan dari pemilik.

4) Iklankan Listing

Tugas seterusnya ialah kita iklankan listing tersebut, biasanya dekat medium pemasaran online macam Mudah.my. Iklan tu juga kita pantau supaya bakal pembeli boleh jumpa kalau mereka cari.

Bila ada pembeli hubungi, bina hubungan dengan pembeli dan saring mereka. Dekat sini kita nak pastikan pembeli ada motivasi dan dah bersedia untuk beli rumah. Kemudian, buat temujanji untuk pembeli tengok rumah.

5) Viewing Dan Closing

Semasa viewing, bina hubungan baik dengan bakal pembeli dan teman mereka untuk tinjau keadaan rumah. Kita juga akan yakinkan mereka kenapa listing tersebut sesuai dengan mereka.

Kalau pembeli berminat, kita jalankan proses rundingan dengan pemilik. Setelah berjaya, pembeli dan penjual akan tandatangan borang tempahan. Pembeli akan bayar wang tempahan kepada agensi kita pada tahap ni. Wang inilah yang akan jadi komisen kita kalau jual beli selesai.

6) Pinjaman Dan Guaman

Selepas tu, kita bantu pembeli tu untuk dapatkan pinjaman dan khidmat guaman. Setelah pinjaman lulus, pembeli dan penjual akan tandatangan perjanjian jual beli. Bila habis proses inilah baru kita dapat tuntut komisen kita dari agensi.

Dalam proses pindah milik mula, kita bawa penilai bank ke rumah. Kita juga mungkin kena kemaskini status kerja pindah milik kepada pembeli dan penjual. Pada hujung proses, kita akan buat serahan kunci kepada pembeli.

Panjangkan proses ni? Setiap proses ni pun ada cabaran dia. Sebab tu lah pendapatan yang kita dapat dari kerjaya ni berbaloi. Ok, anda dah tahu sedikit sebanyak, sekarang jom kita bincang tentang…

Cara Menjadi Ejen Hartanah

1) Ejen Hartanah vs Perunding Hartanah

Sebenarnya artikel yang saya tulis ni, adalah tentang cara nak jadi perunding hartanah. Bukan ejen hartanah.

Terma perunding hartanah dan ejen hartanah ni ada beza.

Ejen hartanah adalah mereka yang ada kelulusan sijil, diploma atau graduan dalam bidang hartanah. Nak dapat kelulusan ni mereka kena belajar 2-3 tahun. Mereka kemudian buat buat praktikal 2 tahun lagi dan ditemuduga oleh Lembaga Penilai Pentaksir Dan Ejen Hartanah (LPPEH). Bila lulus tu mereka dapat lesen dan boleh buka agensi hartanah.

Perunding hartanah pula ejen hartanah tadi lantik untuk jalankan transaksi jual beli hartanah. Boleh kata macam pembantu ejen. Bila perunding hartanah jual rumah, komisyen akan dibahagi antara mereka dan agensi.

Orang kebanyakan biasanya tak tahu tentang beza dua ni. Artikel ni saya tujukan untuk orang awam yang nak jadi perunding hartanah. Bila saya guna perkataan ejen hartanah tu, saya maksudkan perunding hartanah sebenarnya.

Jadi, nak jadi perunding hartanah ni ada syarat ke? Jawapannya, ada.

2) Syarat Dan Kelayakan

Bila seseorang tu nak jadi perunding hartanah, dia mestilah:

  • Berumur 18 tahun ke atas
  • Tak bankrap
  • Hadir kursus yang LPPEH anjurkan
  • Buat sepenuh masa (ada sesetengah agensi benarkan kalau anda nak buat part time).

Sebenarnya nak jadi perunding hartanah ni tak susah pun. Anda tak perlu ada kelayakan yang tinggi.

Tapi ini tak bermakna pengalaman lepas anda tak relevan.

Seorang peguam yang jadi perunding hartanah contohnya ada banyak kelebihan. Dia dapat fahami kontrak perjanjian dan proses jual beli. Ini satu advantage semasa proses rundingan.

Jurutera boleh terapkan etika kerja yang tersusun dalam kerjaya ni. Banker sudah pasti mahir dengan selok belok pembiayaan hartanah. Ejen insuran pula sudah ada kemahiran untuk buat prospecting.

Kerjaya ejen hartanah ni kerjaya yang universal. Tak kira latar belakang, anda boleh bawa pengalaman anda ke bidang ni untuk berjaya.

3) Boleh Berjaya Ke Kalau Buat Part Time

Macam saya kata, walaupun syarat jadi ejen hartanah ni kena full-time tapi ada agensi yang benarkan anda buat full-time. Persoalannya bukan boleh ke tidak buat part-time. Tapi patut ke tidak?

Kalau kerja anda yang satu lagi tu fleksibel dan tak ikut waktu pejabat, anda boleh berjaya sebagai perunding hartanah.

Tapi kalau kerja satu lagi tu ikut waktu tetap, misalnya dari 8 pagi ke 5 petang, jalannya agak sukar. Walaupun ada ejen berjaya yang masih bekerja, tetapi tak ramai.

Bila ada kerja tetap, kita susah nak fokus. Pembeli dan penjual akan hubungi kita bila-bila masa. Mereka nak tengok atau minta kita jualkan rumah.

Kalau kita konsisten gagal layan mereka, mereka akan hubungi ejen lain. Mereka juga mungkin kurang percaya kalau mereka tahu kita ni adalah ejen hartanah part-time.

Satu lagi ialah…walaupun kerjaya ni masanya fleksibel, tapi masa tak pernah cukup. Hari Sabtu dan Ahad, akan penuh dengan aktiviti viewing dan inspection.

Hari Isnin ke hari Jumaat, kita kena cari listing dan buat pengiklanan. Kena berurusan dengan peguam dan jurubank. Kena buat follow-up. Akhirnya, kerjaya ni akan jadi macam full-time juga.

Saya cadangkan anda buat full-time. Namun begitu, anda lebih tahu diri anda macam mana. Kalau anda rasa boleh buat part-time, teruskan.

Cuma tips dari saya ialah, kalau anda buat part-time, tetapkan niat bahawa part-time tu sementara sahaja. Anda memang nak buat full-time setelah keadaan tu mengizinkan.

3) Bincang Dengan Keluarga

Bila nak buat keputusan untuk masuk ke bidang ni, perkara pertama yang anda kena buat ialah bincang dengan pasangan dan keluarga. Keputusan untuk jadi perunding hartanah ni keputusan besar, terutama sekali kalau anda ada kerja tetap.

Yakinkan keluarga dan orang terdekat supaya anda dapat sokongan moral. Ini sangat penting kerana anda pasti akan berdepan cabaran bila masuk bidang ni nanti. Dengan sokongan ahli keluarga, jalan kita nak atasi cabaran dan berjaya tu lebih mudah.

4) Persiapkan Kewangan Dan Kelengkapan

Seterusnya anda kena buat persediaan kewangan. Sebelum masuk ke bidang ni, saya nasihatkan anda semak bajet bulanan dan potong belanja yang tak perlu.

Perkara yang bukan keperluan macam Astro, pakej internet yang mahal, hobi mahal eloklah kita cantas sementara (atau selamanya).

Ini supaya belanja bulanan kita tu minimum. Bila belanja kita minimum, kita akan mampu bertahan lebih lama sehinggalah kita terima komisen yang pertama.

Untuk menjadi ejen hartanah ni juga kena ada modal. Anda kena sediakan duit untuk perkara berikut:

  • Yuran penyertaan Kursus Perunding Hartanah yang dianjurkan oleh Lembaga Penilai Pentaksi Dan Ejen Hartanah – RM600
  • Yuran penyertaan agensi – sekitar RM200
  • Kos untuk jalankan aktiviti, termasuk kos perjalanan dan marketing untuk hartanah yang anda jual – sekitar RM1,000 – RM2,000 memadai untuk permulaan.

Selain itu, anda juga kena ada sedikit simpanan yang sama dengan 3 bulan kos sara hidup. Ini kerana untuk kita selesaikan satu jual beli hartanah sehingga dapat komisen pertama, mungkin akan ambil masa sekitar 3 bulan. Jadi anda perlukan simpanan tu untuk bertahan pada 3 bulan pertama.

Tinggi ke modal permulaan ni? Tak tinggi sebenarnya kalau anda bandingkan dengan bisnes lain.

Tapi kalau anda tak dapat sediakan jumlah yang saya sebut ni, ada satu cara lagi yang anda boleh buat. Bila anda sertai bidang ni, buat sewa rumah terlebih dahulu. Ini kerana komisen sewa hartanah kita boleh dapat lebih cepat berbanding kes jualan.

Biasanya untuk sewa, kes tu boleh selesai sekitar seminggu ke dua minggu setelah anda iklan dan dapat penyewa yang berminat.

Jadi kalau anda rasa minat dengan bidang ni tapi kos permulaan tu macam satu halangan, jangan bimbang. Ada cara yang anda boleh ikhtiar melalui sewa tu insyaAllah.

Satu lagi perkara yang anda kena sediakan ialah kelengkapan. Kelengkapan minimum yang anda mesti ada ialah:

  • Kenderaan
  • Komputer atau laptop
  • Telefon bimbit
  • Kad bisnes
  • Banner

Kad bisnes dan banner tu agensi akan sediakan dan biasanya termasuk dalam yuran pendaftaran agensi.

5) Daftar Dengan Agensi

agensi hartanah
Inilah keluarga besar agensi saya sekarang. Dulu bermula dengan hanya 18 orang je. Alhamdulillah dikurniakan begitu ramai rakan kerja.

Setelah persediaan rapi, cari dan sertai agensi yang berdekatan. Tapi agensi hartanah ni ada banyak. Kalau anda nak berjaya, anda patut sertai agensi yang ada ciri berikut:

  • Latihan: Agensi yang baik akan selalu beri latihan kepada perunding hartanah mereka. Ini sangat penting untuk jadi ejen hartanah yang berjaya.
  • Bilangan perunding hartanah: Berapa ramai ejen di bawah sesebuah agensi? Semakin ramai perunding hartanah semakin baik. Senang nak kerjasama dan dapatkan listing daripada rakan sejawatan. Bilangan ejen yang ramai juga petanda agensi tersebut lebih berstruktur.
  • Team leader: Anda juga perlu tahu, ada tak team leader yang akan kawal selia. Ini kerana team leader ni la yang akan beri panduan kepada anda. Dia akan jadi mentor.
  • Kerja berpasukan: Saya sarankan sertai agensi yang buat kerja berpasukan. Yang ni mungkin anda boleh tengok dekat media sosial. Kalau ejen hartanah satu agensi tu, nampak selalu ada aktiviti bersama, tu petanda agensi yang baik.
  • Agensi berlesen: Anda boleh semak lesen agensi di laman web LPPEH. Elok buat, tak mahu nanti bila dah join tengok-tengok broker haram rupanya.

Selain daripada agensi, anda juga patut pertimbang siapa team leader anda nanti. Ramai yang gagal dalam bidang ni, mereka tersilap masuk agensi atau berada di bawah team leader yang lemah.

Macam mana nak tahu sama ada agensi dan team leader tu boleh bagi sokongan? Yang ni agak susah nak tahu. Tips saya ialah anda tanya mereka yang dah berada dalam bidang ni untuk syorkan anda kepada agensi dan team leader yang sesuai.

6) Hadir Kursus Perunding Hartanah

Semua perunding hartanah wajib hadir kursus yang Lembaga Penilai, Pentaksir Dan Ejen Hartanah anjurkan. Anda boleh hubungi Good Institute untuk sertai kursus ni.

Antara topik yang anda akan belajar ialah:

  • Pengenalan kepada pasaran hartanah
  • Asas industri hartanah
  • Piawaian Agensi Hartanah Malaysia
  • Praktis agensi hartanah
  • Kemahiran membuat rundingan
  • Asas guaman hartanah
  • Undang-undang berkaitan hartanah
  • Kemahiran IT dalam hartanah

Setelah tamat kursus, anda akan dapat sijil. Serahkan salinan sijil ni kepada agensi dan mereka kemudian akan daftarkan anda ke LPPEH.

7) Suai kenal Dengan Agensi Dan Pasukan

Seterusnya, luangkan masa untuk belajar tentang proses dan prosedur agensi. Anda juga perlu jumpa team leader dan kenal ahli kumpulan. Kalau agensi ada sediakan latihan untuk ejen baru, bagi saya, anda wajib sertai.

Walaupun anda dah hadir Kursus Perunding Hartanah dengan LPPEH, kursus tu sebenarnya lebih kepada teori. Untuk latihan yang lebih praktikal, belajarlah dengan mereka yang senior di agensi.

Anda masih bersama saya? Sekarang tiba masa saya nak terangkan tentang…

Cabaran Menjadi Ejen Hartanah

kerjaya ejen hartanah

Sebelum saya terangkan lanjut, saya nak bagi nasihat. Jangan takut dengan semua cabaran ni. Ramai yang dah berjaya. Kalau mereka boleh, anda pun boleh.

Dalam bidang perunding hartanah, cabaran utama yang anda akan hadapi ialah…

1) Rejection

Dalam bidang ni anda kena cekal dan kuat semangat. Ini kerana anda pasti akan berdepan dengan banyak rejection daripada klien dan juga pemilik. Rejection ni pula boleh jadi dalam macam-macam cara dan ragam:

  • Klien view rumah tak jadi beli
  • Klien window shopping
  • Klien sailang ejen
  • Klien book rumah, tapi pinjaman tak lulus
  • Klien book rumah, tapi pemilik naikkan harga
  • Klien book rumah, pemilik tak jadi jual

Rejection akan kacau momentum perunding hartanah baru. Oleh sebab itu, kita mesti kata ‘Next!’ dan teruskan usaha tak kisah hari tu cerah atau mendung.

Kita mesti faham bahawa semakin banyak rejection kita terima, semakin dekat kita dengan jualan seterusnya.

2) Pendapatan Kita Tidak Konsisten

Kerjaya ejen hartanah ni juga ada naik turun. Ada bulan, jualan kita baik. Ada bulan, jualan biasa-biasa sahaja. Bulan lain mungkin tak ada jualan langsung.

Bila jualan tak menjadi, maka kita tak ada pendapatan. Kerja kita ni tak ada gaji.

Oleh sebab itu, pada bulan-bulan yang mana jualan kita baik, kita mesti uruskan kewangan dengan betul dan menyimpan.

Apa yang kita dapat tu jangan makan semua. Simpan sebahagiannya untuk hari yang kurang cerah.

Bila kita dah stabil sikit, dapatkan insuran hayat dan kesihatan untuk lindungi diri kita dan keluarga daripada musibah yang datang tiba-tiba.

Cabaran seterusnya ialah…

3) Susah Nak Dapatkan Listing Rumah Untuk Dijual

Ni keluhan yang saya selalu terima daripada ejen hartanah baru. Secara jujur, nak dapatkan listing ni taklah terlalu susah. Tapi nak dapat listing yang berkualiti, yang boleh terjual cepat, yang tu susah.

Nak dapatkan listing yang berkualiti ni bagi saya tak ada jalan pintas. Kita mesti buat kerja untuk dapatkan listing (prospecting) dengan konsisten.

Kalau kita sekejap buat, sekejap tak buat, maka kita tak akan dapat listing yang baik.

4) Pengetahuan Dan Pengalaman

Kurang pengetahuan dan pengalaman juga adalah satu cabaran. Bila anda terjun ke bidang ni, anda kena cepat-cepat belajar ilmu perunding hartanah.

Kalau kita tak ada kesungguhan menuntut ilmu, maka lambatlah kita buat jualan yang pertama. Lambatlah kita ada pendapatan dan kita mungkin tak dapat bertahan. Saya akan terangkan perkara ni lebih lanjut nanti.

Sekarang saya nak sentuh tentang…

Kenapa Ada Perunding Hartanah Gagal

Sepanjang pengalaman saya menguruskan agensi, ramai perunding hartanah gagal kerana faktor berikut:

  • Tidak ada matlamat yang jelas: Kita mesti ada matlamat yang jelas dan besar dalam bidang ini. Barulah tindakan kita akan meyusul.
  • Tak fokus: Ramai yang sertai bidang ni gagal sebab tak fokus. Mereka ada kerja atau bisnes lain. Bila tak dapat beri tumpuan untuk jalankan aktiviti, seorang perunding hartanah tu akan gagal.
  • Tidak berdisiplin: Kita mesti ada disiplin untuk buat kerja yang sepatutnya dalam bidang ni. Kerja paling penting ialah untuk dapat dan iklankan listing. Yang ni tak boleh tinggal.
  • Tak mahu belajar dan tak boleh diajar: Ada yang buat sepenuh masa, fokus, tapi gagal juga kerana tak mahu belajar dan tak ikut nasihat mereka yang lebih senior.
  • Tak dapat tunjuk ajar yang betul: Bila kita masuk ke bidang ni, kita kena ada strategi jualan yang betul. Kena tahu listing macam mana kita patut fokus, berapa bilangan listing dan harganya. Kadang-kadang tak ada orang beritahu kita tentang perkara ni dan kita beri tumpuan kepada perkara yang tak menghasilkan jualan. Sesetengah perunding hartanah juga ada cita-cita besar. Masuk bidang ni terus nak jual hartanah puluhan juta sedangkan dia tak ada pengalaman dan tak mampu nak survive lama dari segi kewangan. Jangan buat kesilapan ni. Sertai agensi dan pasukan yang baik supaya anda dapat panduan yang betul.
  • Ada circle yang salah: kalau kita ada masuk ke dalam pasukan atau bergaul dengan mereka yang negatif dan tak ada cita-cita nak buat jualan, kita pun akan terikut perangai yang sama.
  • Cepat putus asa: Akan ada saat dalam kerjaya ni, semua yang anda buat serba tak kena. Klien view rumah tapi tak beli, pinjaman tak lulus atau pindah milik tak berjaya. Semua ni cabaran yang kita kena redha kalau nak bertahan lama dalam industri ni.
  • Mahu kerja senang: ada juga yang masuk ke bidang ni kerana mereka anggap kerja ni senang. Ini mindset yang salah. Tak ada kerja senang dalam dunia ni. Kita mesti usaha bersungguh-sungguh. Sekurangnya dalam bidang ini, usaha kita tu akan bagi pulangan yang berbaloi.
  • Tak bertindak: banyak mana kita tahu tentang ilmu hartanah dan jualan, tak ada guna kalau kita tak bertindak. Ada sesetengah perunding hartanah masuk ke bidang ni hanya nak belajar. Dia ada banyak pengetahuan dalam serba perkara, tapi jualannya kurang. Dia tak bertindak. Orang macam ni pun akan gagal.

Okay, kita selesai bab ni. Sekarang saya nak sambung tentang…

Pengalaman Saya Sebagai Perunding Hartanah

1) Apa Kita Buat Saat Kita Jatuh

Saya nak sebut dekat sini bahawa…kita akan jatuh dalam kerjaya ni. Itu pasti.

Tetapi, macam mana respon kita saat kita jatuh akan tentukan perjalanan karier kita.

Masa saya mula dulu saya buat part-time. Kerja hakiki saya adalah sebagai akauntan di Petronas. Tetapi saya nak beralih arah. Dunia korporat ni bukan untuk saya, saya rasa.

Malangnya 3 bulan pertama sebagai perunding hartanah, saya tak ada jualan. Dan agensi pun dah bagi amaran saya bakal kena terminate.

Yang jadi bekalan saat kita jatuh adalah Big Why kita. Kalau saya tengok wajah anak saya, walaupun dah rasa letih dan kecewa, saya tetap rasa nak teruskan.

2) Berkorban Untuk Masa Depan

Saya buat keputusan besar masa tu. Saya tinggalkan Petronas untuk fokus dalam bidang hartanah. Kalau fikir balik, keputusan ni macam orang tak betul.

Saya tak pernah dapat pendapatan dari bidang perunding hartanah dan tinggalkan kerja yang selesa.

Orang sekeliling juga tak kurang yang mengata. Belajar tinggi, tapi masuk bidang jualan. Biarkan mereka.

Rezeki ini Allah dah tentukan untuk kita. Kalau kita fikir macam tu kita akan rasa tenang.

Episod seterusnya…

3) Mencari Rentak

Saya tukar matlamat. Saya sedah bahawa matlamat yang besar, akan lahirkan tindakan yang besar.

Saya kata kat diri, saya nak dapatkan sekurangnya RM10,000 sebulan dari kerjaya ni. Memang betul…bila kita ubah mindset, tindakan yang lahir tu akan berbeza.

Saya banyak bertemu dengan ramai ejen berjaya, nak belajar apa yang mereka buat. Tapi dalam proses pembelajaran ni, akan terhantuk juga.

Kita akan banyak buat eksperimen dan tak semua apa yang kita belajar dari orang berjaya tu terpakai untuk kita.

Proses pembelajaran saya jadi lama dan duit simpanan saya pun hampir habis. Saya merayu dekat agensi supaya kekalkan saya.

Tapi alhamdulillah pada bulan keenam, saya berjaya jual rumah kawan saya dekat Petaling Jaya. Komisen jualan rumah tu agak besar dan boleh tampung belanja saya untuk 3 bulan.

Dalam bidang hartanah ni, kita ada istilah yang mana kalau kita buat jualan pertama, kita panggil sebagai pecah telur. Bila kita pecah telur, jualan seterusnya akan lagi mudah sebab kita dah ada pengalaman.

4) Gagal Lagi

Bulan ketujuh dan kelapan, saya close 6 unit untuk dua bulan tu. Tapi 4 unit gagal kerana macam-macam masalah. Bulan berikut pun sama juga.

Punca saya gagal kerana kurang pengetahuan dan selok-belok proses jual beli hartanah. Tak kurang juga ragam pembeli dan pemilik yang terpaksa saya hadap.

Tiap-tiap cabaran yang kita tempuhi tu sebenarnya ada hikmah. Dari situ kita belajar perkara baru yang mana akan jadi bekalan untuk kita bantu pemilik dan pembeli lain di masa hadapan.

5) Mula Konsisten

Tahun kedua saya agak konsisten. Masa ni saya rasa yakin kerana dah tempuhi macam-macam perkara dalam jual beli hartanah.

Saya mula menulis blog untuk bantu penjual, pembeli dan ejen hartanah dengan pengalaman yang saya ada. Bila kita banyak memberi, orang makin kenal kita dan rezeki saya murah lepas tu. Tahun 2017, 2018 dan 2019 saya disenarai antara perunding hartanah terbaik. Alhamdulillah.

Adakah saya ni dah berjaya? Jauh sekali. Saya tak ada niat pun nak menunjuk kat sini. Tapi nak bagitahu anda bahawa…

…inilah jalan yang ramai perunding hartanah baru akan lalui. Kita akan belajar melalui kesilapan. Sesetengah ada proses belajar yang pendek dan kemudian konsisten.

6) Putus Asa, Binasa

Sesetengah macam saya, proses belajar mereka panjang. Ada yang terus gagal dan sebahagian lagi terhantuk dulu, barulah mereka jumpa rentak dan konsisten.

Tetapi apa pun, jangan sekali kita putus asa. Bila kita give up, semuanya akan tamat.

Kalau anda buat keputusan untuk melangkah ke bidang ini, terimalah juga cabaran yang akan anda hadapi.

Kerana selain wang ringgit, pengalaman bidang ini akan berikan impak positif kepada diri anda insyaAllah.

Dalam bahagian seterusnya, saya akan kongsikan tentang apa yang anda perlu buat untuk jadi perunding hartanah berjaya. Spesifiknya kita akan bincang tentang…

Cara Buat RM10,000 Sebulan Sebagai Ejen Hartanah

1) Perancangan Jualan Untuk Dapat RM10,000 Sebulan

Saya dah terangkan kepada anda, pendapatan perunding hartanah ni adalah dari komisen jualan. Kalau anda jual rumah berharga RM500,000 dan kadar komisen 3%, total komisen ialah RM15,000. Jika nisbah perkongsian anda dengan agensi ialah 60%, anda akan terima RM9,000 (RM500,000 x 3% x 60%).

Kalau ikut pengalaman saya, untuk jana RM10,000, anda kena buat jualan sebanyak RM750,000 sebulan. Jualan RM750,000 tak semestinya satu hartanah.

Boleh jadi 2 ke 3 hartanah yang mana jumlah harganya bersamaan RM750,000. Kalau kadar komisen 3% dan nisbah perkongsiah 60%, anda akan terima komisen sebanyak RM13,500 (RM750,000 x 3% x 60%).

Daripada RM13,500 ini:

  • RM1,000 anda kena simpan untuk bayar zakat dan cukai bila tiba masa.
  • RM2,500 anda guna untuk kos operasi, macam kos pengiklanan, tol, petrol, makanan dan lain-lain.
  • Baki RM10,000 tu adalah pendapatan bersih anda.

2) Roadmap Untuk Dapat RM10,000 Sebulan

Bila kita nak dapatkan pendapatan sebanyak ni sebagai perunding hartanah, ianya tidak mudah tetapi tak juga susah. Setelah kaji ramai perunding hartanah berjaya dan dari apa saya pratikkan sendiri, kalau anda cukup ciri-ciri yang saya terangkan ni, anda pasti boleh berjaya.

Pertama, anda kena kuasai ilmu asas perunding hartanah. Ini termasuklah:

  • Peraturan kerjaya
  • Asas hartanah
  • Asas pembiayaan hartanah
  • Cara jalankan aktiviti sebagai perunding hartanah (prospecting, inspection, advertising, viewing, closing)

Kesemua ilmu ini sangat penting untuk kita bantu klien. Kalau asas tak kukuh, seorang perunding hartanah tu mungkin tak dapat bertahan lama dalam industri. Ilmu-ilmu ini juga anda kena kuasai dengan cepat. Semakin lama anda tunggu, semakin tinggi risiko anda akan gagal buat jualan dengan konsisten.

Kedua, anda mesti ada visi, misi dan big why. Ini penting supaya kerja yang anda usahakan tu ada makna. 3 perkara ni juga akan berikan motivasi kepada anda terutama bila kita jatuh. Kalau boleh buatlah satu Vision Board untuk 3 perkara ni dan letak dekat tempat yang anda selalu boleh tengok.

Ketiga, sikap dan pegangan anda mesti betul. Anda mesti selalu positif dan ada disiplin diri yang tinggi untuk buat kerja yang sepatutnya setiap hari, terutama kerja prospecting.

Kelima, anda mesti ada soft skills. Soft skill ni biasanya anda akan belajar melalui pengalaman uruskan kes-kes yang mencabar.

Dan keenam, yang paling penting sekali, anda kena ada strategi. Ini anda akan belajar dari senior anda. Contohnya, listing apa yang anda kena fokus. Berapa harganya, dekat mana nak dapatkan listing, berapa bajet iklan dan sebagainya.

Bila seorang perunding hartanah lengkap semua kriteria yang saya sebut ni, dia bertindak dan ada pengalaman sikit, secara realistik, saya jangka dia boleh jana pendapatan sekitar RM10,000 ke RM30,000 sebulan.

Dalam bahagian kedua artikel ini, saya akan terangkan tentang strategi perunding hartanah berjaya. Kalau anda serius nak sertai bidang ni, tekan butang di bawah dan ikuti bahagian seterusnya.

Bahagian 2: Strategi Dan Rahsia Jadi Ejen Hartanah Berjaya

Dalam bahagian ini, saya akan terangkan tentang pengurusan pipeline dan juga 3 kriteria penting untuk jana pendapatan tinggi sebagai perunding hartanah.

Soalan Lazim

1) Dalam keadaan ekonomi yang terkesan dengan pandemik Covid-19 ni, sesuai ke jadi perunding hartanah?

Pasaran hartanah terkesan masa PKP yang pertama, masa ada lockdown. Ejen hartanah tak boleh buat kerja dalam tempoh ni. Bahkan, semua bisnes kecuali Essential Service pun terima kesan negatif.

Tapi setelah PKP pertama tamat, ramai pembeli nak dapatkan rumah masa tu. Kebanyakan mereka beli rumah untuk duduk dan bukan untuk pelaburan. Mereka ambil peluang beli dalam tempoh ni kerana kadar faedah bank yang rendah dan juga harga hartanah berada pada bawah harga pasaran.

Data yang Lembaga Penilai, Pentaksir Dan Ejen Hartanah keluarkan juga mengesahkan situasi ni yang mana saya tengok transaksi hartanah pada suku ke-2 dan suku-3 2020, ada peningkatan yang baik.

Untuk PKP seterusnya, tidak berikan kesan kepada tugas ejen hartanah. Kita dibenarkan keluar untuk buat inspection dan viewing, sekalipun merentas daerah.

2) Saya tinggal di luar Lembah Klang. Sesuai ke saya jadi ejen hartanah?

Sangat sesuai. Saya akan terangkan kenapa.

Ramai orang ingat kerjaya ejen hartanah lebih dapat sambutan di negeri-negeri yang padat macam Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Memang benar, dekat negeri-negeri ni ada lebih ramai pembeli. Tapi kita kena ingat, di negeri-negeri ini juga ada lambakan hartanah dan ramai perunding hartanah yang jadi pesaing kita.

Kebanyakan negeri lain tak ada masalah lambakan hartanah. Ini bermaksud walaupun bilangan pembeli mungkin kurang, tapi nak buat jualan tu senang kerana pilihan yang pembeli ada tu tak banyak.

Profesyen perunding hartanah pun mungkin masih baru dan perunding hartanah tak ramai.

Agensi saya baru-baru ni, ada buka cawangan di sebuah negeri luar Lembah Klang. Saya boleh katakan prestasi mereka sangat cemerlang kerana dua sebab yang saya sebut tadi.

Teruskan niat anda kalau dah ada minat. Peluang dah ada depan mata.

3) Kerja ejen hartanah ni sesuai ke untuk wanita?

Wanita selalu ada salah tanggapan bahawa kerja ejen hartanah ni adalah untuk orang lelaki. Ya, memang lelaki ramai dalam bidang ni. Tapi peluang untuk wanita berjaya saya rasa lebih tinggi.

Dekat agensi saya sendiri saya boleh kata, walaupun lelaki ramai, tapi wanita lebih ramai masuk dalam carta jualan tertinggi bulanan. Saya perhatikan ada 3 sebab utama kenapa wanita sesuai dengan kerja ni.

Pertama, orang perempuan ni ada sifat emphathy, iaitu mereka selalu dengar dan ambil berat tentang masalah klien mereka. Sifat empathy ni adalah sifat manusiawi yang sangat penting dalam bidang jualan.

Kedua, wanita secara umum bijak mengurus masa. Mereka tahu macam mana nak bahagikan masa untuk komitmen dengan keluarga dan juga kerjaya.

Ketiga, orang perempuan selalunya fokus dan berdisiplin. Kalau mereka ceburi bidang ni, mereka jarang explore peluang dalam bidang lain untuk jana duit cepat. Wanita juga lebih berdisiplin bila buat prospecting.

Bagi saya, peluang untuk wanita berjaya dalam bidang ni sama atau lebih sedikit berbanding lelaki (Nota: orang lelaki jangan marah ya. Haha). Anda boleh buat. Hanya perlu percaya kepada diri anda.

4) Umur saya ________, boleh ke saya berjaya?

Tak kira berapa umur anda, anda boleh sukses. Di agensi saya, ada yang berumur 20 tahun dan ada juga yang dah pencen. Orang muda ada semangat nak berjaya. Yang berumur pula sudah banyak pengalaman dan ada jaringan kenalan. Tiap orang ada keunikan yang mereka boleh bawa ke bidang ni insyaAllah.

5) Kerjaya ni tak glemer la!

Salah tu. Saya tanya anda, kerjaya apa yang ada TV Show sendiri? Peguam, doktor, chef, detektif dan…ejen hartanah! Tak percaya boleh tengok TV Show Million Dollar Listing ni. Huhu.

kerjaya ejen hartanah

Joke aside, memang ada dibelenggu persoalan ni. Terutama kalau kita ada status dan jawatan.

Ianya berbalik kepada diri kita. Adakah kita gembira dengan kerja sedia ada? Adakah dengan sertai bidang hartanah ni, kita dapat jumpa apa yang kita cari (masa, contohnya)?

Kalau ya, pedulikan semua persepsi orang. Kitalah corakkan hidup kita sendiri.

6) Boleh ke saya hadir kursus perunding hartanah LPPEH dulu dan baru sertai agensi.

Boleh, tapi saya tak galakkan. Ini kerana Kursus Perunding Hartanah ni bukan selalu diadakan. Kita mungkin kena tunggu berminggu-minggu baru dapat sertai.

Sebaliknya kalau sertai agensi dulu, anda terus boleh biasakan diri dengan agensi, pasukan dan pengurus anda. Mereka juga mungkin boleh berikan latihan praktikal. Ini akan jimatkan masa.

Kesimpulan

Saya harap artikel Cara Menjadi Ejen Hartanah ni sedikit sebanyak dapat bantu anda buat keputusan. Kalau anda dah bersedia, ikuti bahagian kedua artikel ini sekarang.

Bahagian 2: Strategi Dan Rahsia Jadi Ejen Hartanah Berjaya

Dalam bahagian ini, saya akan terangkan tentang pengurusan pipeline dan juga 3 kriteria penting untuk jana pendapatan tinggi sebagai perunding hartanah.

Berikut adalah artikel lain yang anda boleh ikut:

Leave a Comment

302 thoughts on “Cara Menjadi Ejen Hartanah Dan Jana RM10,000 Sebulan”

  1. Arif Hussin says

    March 29, 2018 at 9:29 am

    Salam

    1. Untuk daftar dengan agensi kami sila layari https://avid.com.my/bop/

    2. HR akan telefon tuan untuk interview

    3. Ya, negotiator course tu perlu

    *** NAH LINK… MOHON RAJIN2 SCROLL KOMEN YE. EN ARIF DAH SEDIAKAN LINK DAH.

    • Assalamualaikum. Saya Rashida Azhar. Dulu bekerja sebagai jurutera dlm industri oil n gas. Sekarang suri rumah sepenuh masa dan menetap di Bandar Tasik Puteri, Rawang. Saya berminat nk mendapat kan ilmu sebagai perunding hartanah sekaligus menjadi full time perunding hartanah. Saya dah masuk pada link yg diberi. Bolehkah saya letak nama En. Arif Hussin sebagai referal?

  2. Assalamualaikum tuan,

    Saya berminat untuk menjadi ejen hartanah tapi separuh masa untuk masa 6 bulan sebab saya memang bercadang untuk berhenti kerja. Sekarang ni saya bekerja dalam bidang jualan dan pemasaran. Mohon bantuan tuan jika saya boleh menyertai agensi tuan atau tuan boleh cadangkan mana-mana agensi yang boleh menerima saya sebagai part timer. Mohon tuan untuk hubungi saya 0193034077.

  3. Salam Tuan Arif, saya berpengalaman dalam bidang video pengiklanan, saya berminat untuk menceburi bidang hartanah, bolehkah saya menyertai agensi tuan? Adakah saya perlu mengikuti kursus REN telebih dahulu sebelum mendaftar dengan pihak tuan?

  4. SAlam tuan, saya dah lama cari orang yang boleh guide saya and wife untuk jadi perunding hartanah ni. Tapi mungkin bkan rezeki kami lagi. Mostly orang yang kami jumpa selalu bawak kami separuh jalan atau lagi tak elok, amik kesempatan atas kami. Mntk deposi itu ini tp hilang entah kemana sampai la saya putus asa. Kami baru dapat cahaya mata, dari situ terdetik saya nk kukuhkan keluarga kami. Minat dgn hartanah da lama dr zaman habis sekolah, tp takda bimbingan. Senang cerita kami memang zero. Harap tuan boleh berkongsi selok belok sebenar dan kemana harus kami tuju pada peringkat awal?

  5. Asalamualaikum tuan arif saya berminat dlm bidang hartanah. Dan brminat mjdi ejen hartanah. Dlm erti kata perunding hartanah. Tapi sy tak tahu mcm mne cara sy nk menceburi bidang nie..dan dkat mne yg harus sy mulakan dulu.

  6. Salam Tuan Ariff,
    Sy sgt berminat nk jadi agen hartanah. Tapi masih ragu2 dgn commitment sekarang dan modal yang limited. Kerjaya sekarang saya terlalu tertekan, tapi sy tak ada pilihan.

  7. Assalamualaikum Tuan, saya berminat dgan REN dan saya Tngal dikwasan sekitar Kajang.. saya tidak bkerja skrng, dan lepasan diploma.. , brapa modal trbaik untk diri saya mnjd REN? Apa syarat wajib mnjadi REN?

  8. En Ariff,saya bakal menduduki SPM pada tahun ini dan saya bercadang utk melanjutkan study lepas spm…Soalan saya,untuk menjadi perunding ataupun agen hartanah,kos apa yg disarankan?terima kasih

  9. Salam Tuan
    Saya berminat untuk menceburi bidang Hartanah nie. Sekiranya kita dah berdaftar sebagai REN, kita hanya boleh join dibawah satu agen atau boleh melebihi satu agen?

  10. Assalamualaikum Tuan Arif,

    Saya Muhammad Ridhzuan,19 masih belajar dan sy betul2 minat untuk menceburi ilmu dan menimba pengalaman dalam “real estate” ni……..sem depan insyaAllah saya akan mempunyai banyak masa yg terluang jadi bagaimana blh saya mengahdiri kelas yg 2 hari tersebut? dengan siapa yg perlu sy hubungi?

    Terima kasih

  11. Assalamualaikum Tuan Arif, nama sy Muhammad Ridhzuan umur 19 tinggal di Kedah dan masih belajar di sebuah Universiti di Terengganu………………..untuk sem yg bakal tiba sy akan mempunyai masa terluang jadi saya ingin belajar ilmu perunding hartanah yg dimaksudkan itu……………………Soalan saya, bagaimana sy nak hadiri kursus 2 hari itu? Dengan siapa perlu saya hubungi? Sy seorang yang suka sangat untuk berniaga dan bergaul dengan orang ramai. Saya harap sangat untuk memperoleh ilmu dan pengalaman sebagai perunding hartanah ini. InsyaAllah akan usahakan yang terbaik

    semoga Tuan Arif dn ahli keluarga diberi keberkatan dalam kehiudpan seharian.

  12. SY IKMAL BERUMUR 20 THAUN, SY NAK CEBURI BIDANG NI DARI SEKARANG , SY ASAL SARAWAK , ADA X PERUNDING ATAU EJEN YANG SESUAI ??

  13. Salam sejahtera, apakah skop kerja sebagai seorang broker tanah? Adakah penyediaan segala dokumentasi termasuk dalam skop kerja broker?

  14. Saya baru habis internship as a valuation exec. and property management di johor. Hari isnin lepas saya ada pergi interview di KL, company Affirm Plus Properties untuk real estate negotiator dan saya akan mula kerja pada hari rabu after labour day. Saya agak takut untuk ceburi bidang ni, tapi saya ingin mencuba pengalaman baru. Untuk permulaan ni saya rasa macam banyak sgt menggunakan duit, yelah saya kan baru habis belajar. Duit elaun intern tu apalah sangat. Tapi lepas saya baca semua ni, saya macam ada semangat yang lebih sikit untuk kerja dalam bidang. Saya harap encik boleh guide saya untuk lebih berjaya lagi dalam bidang ni dan saya boleh berjaya dapat membantu parents saya.

    Terima kasih

  15. Salam En. Arif, Akak berminat untuk menjadi agent hartanah. Akak full time agent insuran dan ramai customer . Tetapi sangat berminat untuk menjadi full time agent hartanah. Bagaimana akak nak bermula. Akak tinggal di Pontian, Johor. Mengenai prosedur untuk menjadi agent akak tahu sikit-sikit.

    Harap dapat bantuan tuan Ariff.

  16. SALam encik ariff..sye nak tanya..berapa ya harga utk renew NCC..sijil nie valid setahun je kna..dimana sye bole renew dan brapa harga dia ya..terima kasih encik

  17. SALam encik ariff..sye nak tanya..berapa ya harga utk renew NCC..sijil nie valid setahun je kna..dimana sye bole renew dan brapa harga dia ya..terima kasih encik

  18. I like to join your team as I’ve got some experienced in banking n GLC Permodalan Negeri Selangor Bhd handled 120 developers

  19. saya sangat berminat boleh en arif whtsap sy, maaf en arif sy tak tau macam mana nk berhubung dengan en arif

    • Salam.

      1) Untuk daftar kursus REN boleh rujuk ke Good Institue.

      2) Tuan boleh daftar dengan agensi kami dengan ikuti link yang tersedia.

  20. SALam tuan..sye baru abis blajar bidang engineering..tapi sye minat bidang2 real estate nie disebabkan pssion sye yg suka berniaga…bolehkah sye ingin menjadi perunding harta..seandainya boleh,bagaimanakah caranye utk sye mulakan..perlukah sye mengambil kelas 2 hari negotiator certification course?mohon penerangan tuan arif…