peguam hartanah

Panduan Melantik Peguam Hartanah Untuk Jual Beli Rumah

Peranan peguam hartanah dalam urusan jual beli rumah amat penting. Skop tugasan bermula seawal proses belian sehinggalah rumah dipindah milik daripada penjual kepada pembeli.

Dalam artikel kali ini ambe akan kongsikan tips untuk melantik dan berurusan dengan peguam hartanah.

Siapa Peguam Hartanah

Sebenarnya peguam ni tidaklah ada pengkhususan tertentu.

Namun terma peguam hartanah ni merujuk kepada peguam yang fokus dan berpengalaman dalam urusan jual beli rumah.

Peguam hartanah yang baik tahu selok-belok urusan jual beli. Mereka juga cekap untuk pastikan urusan selesai dalam jangka masa yang berpatutan.

Siapa Perlu Lantik Peguam Hartanah

Pembeli Rumah

Pembeli rumah boleh dikatakan wajib untuk melantik peguam hartanah. Ini kerana proses belian adalah rumit melibatkan pejabat tanah, bank dan mungkin pemaju.

Penjual Rumah

Untuk penjual rumah pula ada pilihan, boleh lantik peguam hartanah atau pilih untuk tak diwakili.

Jika pilih untuk tak diwakili, peguam pembeli akan bantu pemilik untuk buat tugasan berikut:

  • Pemfailan RPGT
  • Pelepasan gadaian geran penjual
  • Pindah milik

Skop kerja ni ada kos. Tetapi ianya jauh lebih murah daripada melantik peguam sendiri.

Namun begitu haruslah diingat peguam tu masih peguam pembeli.

Mereka sudah pasti akan dahulukan kepentingan pembeli jika ada isu. Oleh itu ada baik juga jika tuan puan melantik peguam sendiri bila menjual rumah.

Lantik peguam untuk penjual ni ibarat beli insuran. Kita bayar sejumlah wang dan mungkin tak nampak kelebihannya.

Tapi bila terjadi kemalangan, kita pasti menyesal kenapa lah tak beli insuran tu dulu!

Lantikan peguam untuk penjual ni pun begitu juga.

Tips Memilih Peguam

1) Pilih Firma Guaman Yang Fokus Dalam Jual Beli Hartanah

Peguam yang hanya menguruskan kes hartanah lebih fokus. Kalau peguam tersebut pun buat kes jenayah, litigation dan lain-lain boleh jadi mereka sukar nak beri perhatian kepada kes tuan puan.

Mencari ejen hartanah

2) Pilih Firma Guaman Yang Stabil

Pilih peguam yang stabil dari segi organisasi dan kewangan. Hubungan tuan puan dengan peguam ini lama.

Kita tak mahu kes terbantut kerana firma ditutup atau lebih serius terjadinya pecah amanah.

Nak tentukan firma tu stabil atau tak susah juga. Kena visit office berjumpa dan juga mungkin melalui referral.

3) Elakkan Peguam Yang Banyak Buat Bisnes Sampingan

Ada peguam yang buat pelbagai jenis bisnes. Ambe panggil peguam Freelance. Peguam pun ya, ejen insuran pun ya, jual tudung pun ya. Jauhi peguam sebegini. Disaster coming.

4) Pilih Peguam Yang Berdekatan

Peguam yang berdekatan dengan rumah yang dibeli mungkin lebih mahir dengan selok-belok jual beli rumah tersebut.

Mereka dah kenal siapa pemaju, dekat mana pejabat tanah nak berurusan dll.

Elakkan firma guaman yang terlalu jauh. Kadang-kadang sebab kawan, sanggup lantik walaupun negeri yang berlainan.

5) Elakkan Memilih Peguam Kerana Fi Termurah

Firma guaman yang baik tidak akan berkompromi dengan kualiti dengan mengambil kes yang terlalu rendah yuran guamannya.

6) Dapatkan Rekemendasi Dari Ejen Hartanah

Ejen hartanah ni perlukan peguam kelas A. Ini kerana pekerjaan dan pendapatan mereka bergantung kepada peguam yang mahir.

Mereka kenal peguam mana yang boleh berikan servis yang baik.

Cara Nak Semak Peguam Yang Sah

Sebelum tuan puan berurusan dengan peguam yang bakal dilantik, pastikan firma tersebut praktis yang sah.

Ini dapat mengelakkan tuan puan berurusan peguam yang mana sijil amalan mereka dah dibatalkan. Atau boleh jadi bukan peguam pun.

Majlis Peguam Malaysia atau Malaysian Bar Council adalah badan yang mengawal selia tatacara profesion guaman.

Badan ini mempunyai daftar senarai praktis guaman dan peguam yang sah di Malaysia. Cara nak semak mudah je:

  • Layari ke web direktori The Malaysian Bar
  • Isikan nama firma guaman. Pastikan firma berada dalam senarai.

Bila Patut Lantik Peguam

Persoalan bila patut melantik peguam ni ada dua situasi:

Jika Pembeli Membeli Terus Dengan Pemilik

Dalam situasi ni dapatkan peguam secepat mungkin sebelum wang tanda jadi (booking) dibayar.

Bila beli dengan pemilik, tuan puan dinasihatkan untuk bayar wang tanda jadi kepada peguam dan minta mereka keluar surat tawaran kepada penjual.

Cara ini bagi ambe adalah selamat kerana peguam bertindak sebagai pemegang amanah atau stakeholder wang tanda jadi tersebut.

Tuan puan juga boleh letak syarat wang tersebut dikembalikan sekiranya permohonan pinjaman tak lulus atau jika penjual batalkan jualan.

Kalau bayar terus kepada penjual, mungkin rumitlah nak dapat balik duit tu kalau situasi yang ambe sebut ni berlaku.

Ada juga risiko penipuan. Entah-entah bukan penjual yang genuine pun.

Jika Pembeli Membeli Rumah Melalui Ejen Hartanah

Ejen hartanah akan menjadi stakeholder untuk wang tanda jadi.

Praktis agensi ni juga seragam yang mana tuan puan akan tandatangan surat tawaran kepada pemilik.

Dalam surat tersebut terdapat terma-terma yang melindungi hak tuan puan.

Jika belian dibuat melalui cara ini, tuan puan boleh melantik peguam setelah pinjaman tuan puan diluluskan.

https://arifhussin.com/semak-harga-pasaran-rumah-percuma/

Dalam fasa ini tugas peguam adalah untuk menyiapkan perjanjian jual beli untuk ditandatangai.

Nak Dapatkan Khidmat Peguam Yang Baik?

Ambe selalu guna khidmat satu firma guaman ni. Ambe personally kenal pemiliknya.

Mereka ni ambe percaya 100% dan amanah dalam menguruskan wang. Nak dapatkan khidmat mereka boleh ikuti link di bawah. Isi form, dan mereka akan hubungi tuan puan.

 

Jenis Perjanjian

Ada dua perjanjian utama yang akan disediakan oleh peguam untuk jual beli rumah:

  • Perjanjian Jual Beli. Perjanjian ini antara penjual dan pembeli.
  • Perjanjian Pinjaman. Jika belian rumah dibuat melalui pinjaman, perjanjian ini antara pembeli dan pihak bank.

Bilangan Peguam Dalam Satu Transaksi Hartanah

Dalam suatu transaksi hartanah pula boleh jadi ada antara 1 hingga 3 peguam yang menguruskan.

  • Peguam Yang Mewakili Pembeli
    Untuk pembeli, perjanjian jual beli dan perjanjian pinjaman boleh diurus oleh satu peguam atau dua peguam yang berbeza. Kalau ada dua peguam, satu akan uruskan perjanjian jual beli dan yang satu lagi akan uruskan perjanjian pinjaman.
  • Peguam Yang Mewakili Penjual
    Seperti yang ambe beritahu kat atas, penjual ada opsyen untuk pilih tak diwakili atau lantik peguam sendiri. Peguam penjual ni akan berhubung dengan peguam pembeli yang menguruskan perjanjian jual beli.

Situasi yang tak ideal bila jual beli ada 3 peguam.

  • Pembeli lantik peguam untuk perjanjian jual beli
  • Perjanjian pinjaman pembeli pula diuruskan peguam berbeza
  • Penjual melantik peguam sendiri.

Bagi ambe, seeloknya guna maksimum 2 peguam sahaja.

Ini kerana komunikasi antara peguam tu mungkin menjadi cabaran semakin ramai peguam terlibat.

Komunikasi mereka ni kena bertulis secara rasmi, mana boleh Whatsapp je. Ini mungkin akan melambatkan proses.

Ambe cadangkan pembeli pakai satu peguam sahaja untuk buat perjanjian jual beli dan perjanjian pinjaman.

Untuk penjual disarankan melantik peguam. Jika kos menjadi halangan, pilih untuk tak diwakili.

Peguam Panel Bank

Firma guaman boleh jadi bukan panel dengan semua bank.

Untuk pembeli rumah, semak dulu sama ada peguam adalah panel dengan bank yang tuan puan nak mohon pinjaman.

Ini untuk elakkan tuan puan terpaksa guna peguam berbeza untuk perjanjian pinjaman nanti.

Kos Guaman

Kos guaman ni sekitar 3% – 5% dari harga belian. Kos ini termasuklah kos perjanjian jual beli dan kos memorandum of transfer.

Fi professional peguam ni juga seragam dan dipantau. Firma berlainan akan berikan harga yang lebih kurang sama.

Kalau berbeza pun kerana caj disbursement dan administrative.

Untuk pastikan proses jual beli lancar, pastikan tuan puan dapatkan sebut harga dari peguam yang dilantik.

Saya Nak Cari Peguam Murah

Seperti yang ambe terangkan, fi professional peguam ni seragam walaupun firma berlainan.

Yang jadi perbezaan tu dekat caj disbursement dan administrative.

Kadang-kadang kita nak jimat caj ni dengan melantik peguam yang boleh beri harga termurah.

Tetapi sebenarnya caj tersebut memberikan nilai tambah.

Peguam yang stabil misalnya mempunyai cara kerja tersusun dan kewangan organisasi yang baik.

Mereka ada proses review dan mungkin ada perkerja yang lebih ramai untuk membantu tuan puan.

Jika perkerja mereka berhenti, proses tak terganggu kerana akan ada yang ambil alih.

Ambe sendiri pernah terkena dengan peguam yang menjanjikan bulan dan bintang. Separuh proses jual beli berjalan, mereka tak fokus dan tak dapat menyiapkan kes.

Ambe belajar dari situ: You get what you paid for.

Bila Kena Bayar Peguam

Untuk belian rumah, tuan puan dikendaki membayar sejumlah deposit untuk membuka kes di firma guaman.

Mengikut pengalaman ambe, dalam RM300-500. Amaun ini akan ditolak daripada fi guaman perjanjian jual beli.

Bayaran untuk perjanjian jual beli dan perjanjian pinjaman pula dibayar setelah keduanya ditandatangani dan disetem.

Untuk belian rumah melalui ejen hartanah misalnya, anggaran jangkamasa bayaran adalah seperti berikut:

  1. Deposit untuk buka fail: Semasa lantikan peguam. Biasanya 2 minggu dari tarikh booking.
  2. Fi perjanjian jual beli: Setelah perjanjian jual beli ditandatangani. Biasanya sebulan dari tarikh booking.
  3. Fi perjanjian pinjaman: Setelah perjanjian pinjaman ditandatangani. Anggaran 2 minggu ke sebulan dari tarikh perjanjian jual beli.

Untuk fi guaman perjanjian pinjaman, kebanyakan pakej pinjaman perumahan boleh sertakan fi guaman tersebut dalam pinjaman.

Jika fi guaman disertakan dalam loan, bayaran akan dibuat oleh bank kepada peguam.

Namun begitu, sediakan sedikit tunai. Boleh jadi tuan puan kena ‘topup’ bayaran fi guaman kalau pakej pinjaman tidak boleh cover semua kos tersebut.

Situasi ini bukan kerana lawyer tersebut caj fi yang mahal.

  • Pakej pinjaman memberi pinjaman tambahan 5% dari harga rumah (margin 90% + 5%).
  • 5% inilah yang digunakan untuk cover legal fee, insuran dan kos penilai.
  • Bayangkan kalau pembeli buat belian rumah berharga RM200,000. 5% ni bersamaan dengan RM1,000. Tak cukup tu.
  • Atau situasi lain boleh jadi juga pemohon pinjaman sudah berumur. Insuran MRTT yang diambil tu boleh jadi mahal menyebabkan 5% tidak mencukupi.

Proses Guaman & Jangkamasa Transaksi

Kerja peguam hartanah ni banyak step yang mereka perlu laksanakan.

  1. Peguam akan buat semakan geran rumah dan kemudian akan sediakan perjanjian jual beli. (1 – 2 minggu)
  2. Setelah perjanjian jual beli ditandatangani, peguam menghubungi pihak bank untuk menyediakan perjanjian pinjaman. (2 minggu – 1 bulan)
  3. Serentak dengan step no 2, peguam akan berurusan dengan pihak berkuasa negeri / pemaju untuk rumah yang mempunyai sekatan / master title. (1 – 3 bulan). Nota: Rumah yang tiada sekatan boleh skip step no 2 ni.
  4. Peguam akan mendapatkan penyata baki hutang pemilik dan kemudian mengarahkan bank pembeli untuk melangsaikan hutang dengan bank penjual. Proses ini dipanggil redemption. (2 bulan)
  5. Hakmilik ditukar dan geran yang diterima dari bank penjual akan digadaikan ke bank pembeli. Assignment akan dibuat untuk rumah master title. Bank pembeli kemudian membayar keuntungan pemilik. (1 bulan)

Untuk rumah yang tiada sekatan, proses akan berkahir dalam tempoh sekitar 4 bulan.

Untuk rumah yang mempunyai sekatan pula, proses boleh jadi sekitar 7 bulan.

Jangkamasa yang ambe berikan ni anggaran sahaja. Kadang-kadang proses boleh jadi lebih lama jika melibatkan:

  • Proses perfection
  • Pemaju yang bankrap
  • Kelewatan oleh pemaju / pihak berkuasa

Peguam Cuai Dan Pecah Amanah

Jika peguam cuai atau songlap duit anda, ada beberapa langkah boleh diambil:

  1. Laporkan kepada Polis. Kalau berlaku pecah amanah atau penipuan, ini jalan yang pertama tuan puan boleh ambil.
  2. Laporkan kepada Majlis Peguam. Majlis Peguam boleh mengambil tindakan untuk menyahsenarai peguam tersebut.
  3. Tindakan Civil. Ini jalan terakhir, kos mungkin tinggi.

Penutup

Semoga perkongsian kali ni memberi manfaat untuk yang bakal beli dan jual rumah. Tuan puan juga boleh rujuk artikel Panduan Dan Cara Beli Rumah Pada Tahun 2018 dan Panduan Dan Cara Jual Rumah Di Malaysia untuk proses lengkap jual beli rumah.

Leave a Comment