Tersontot Emas. Lelaki Ini Tersungkur Lalu Bangkit.

Silap saya, saya silap. Tersontot emas lalu mudah sangat nak salahkan orang lain.

Nak salahkan pengelola yang tak jujur pun boleh. Nak salahkan kawan baik yang ajak saya sertai skim emas tu pun boleh. Itu cara paling mudah. Salahkan orang.

Komitmen Tinggi

Tapi, selesai ke masalah? Alhamdulillah. Pada masa tu wife saya Siti Nur Aisyah sangatlah memahami. Tak lupa juga mesej-mesej mak yang menyedarkan. Antara cabaran saya masa tu:

  • Honda Accord yang dibeli hilang
  • Bayaran bulanan banglo yang tinggi (hampir 2x ganda gaji)
  • Komitmen bulanan lain yang besar
    • ASB loan 200k (saya)
    • ASB loan 200k (wife)
    • Kereta Exora
    • Rumah 2
    • Kilang.

Dari senarai komitmen diatas pinjaman kereta dan banglo yang diduduki jadi liabiliti. Pinjaman lain boleh bayar diri sendiri. Tapi aliran tunai masih negatif.

Setiap bulan saya terpaksa gunakan simpanan kecemasan. Dan ini amat merisaukan.

Kekusutan Tersontot Emas

Rasa rendah diri, malu, tertekan.

Itu apa yang saya rasa selepas tsunami tersontot emas tahun lepas. Bukan sikit-sikit duit yang lebur. 6 angka juga. Pada masa tu semua yang saya buat rasa tak kena.

Konon nak recover dengan jual emas di Turki, tapi kena pau dengan polis airport sana. Konon nak main jual beli no plate, tapi no yang saya beli pun tak jual-jual lagi.

Konon nak beli kereta lelong then jual balik, last-last pakai sendiri je. Nak terjun dalam satu bidang yang asing bukan mudah bagi saya.

Saya buat kira-kira, dengan simpanan yang saya ada, berapa lama je saya boleh bertahan. Hasilnya membuatkan saya bertambah kusut. Pendapatan saya sebagai pensyarah hanyalah 1/3 dari komitmen bulanan saya.

Itu lah padahnya buat pinjaman melebihi dari yang sepatutnya. Kini saya sangat hargai kenapa bank tetapkan 50%,70% atau 80% dari pendapatan sebagai had meminjam.

Tempoh yang saya ada agak singkat.

Mencari Penyelesaian

Apa pilihan yang saya ada?

  • Biarkan rumah saya dilelong
  • Atau biarkan kereta saya kena tarik
  • Atau pindah balik kampung dan hidup berjimat cermat sementara cari kerja
  • Semua di atas
  • Atau cari jalan keluar.

Sedapkan hati..

“Alah.. kalau kira balik, sebenarnya sebulan saya, isteri dan 3 orang anak kami hanya perlukan RM2,000 untuk hidup. Letak tepi RM2,000 x 12 bulan = RM24,000, lari jauh-jauh dan lupakan segala masalah. Duduk la kampung.. kerja kampung ke..”

“Alah.. duit je pun. Kalau bangkrap masih boleh makan minum lagi.. Bukan bank potong jari pun..”

Itu antara monolog yang bermain dalam fikiran saya masa tu.

Betul lah. Sebenarnya takde la teruk mana keadaan kami pada masa tu. Alhamdulillah. ada je duit nak makan. Cuma fikiran ni serabut. Duk fikir macam mana la anak nak sekolah nanti (padahal anak kecil lagi..)

Bila fikir-fikir balik. Ada bagusnya kita memikirkan the worst thing than could happen to us. Bila dah fikir perkara tu. Kita takde la takut sangat.

Saya cuba buat sedaya yang boleh.

Jual Aset

Saya cuba jual banglo saya di Seksyen 11 tu. Mulanya saya cuba jual sendiri.

Kemudian saya cuba mendapatkan khidmat ejen. Ini yang menemukan saya dengan Izzah Rohaizad D’property. Saya minta dia jualkan rumah saya. Bawah nilai pasaran, janji lepas loan je. Pada masa yang sama dia ajak saya sertai dia sebagai Perunding Hartanah.

Tapi dipendekkan cerita. Banglo tu tak dijual pun. Sekarang disewakan pada Zara Aisyah Care Centre.

tersontot emas
Banglo En Safuan yang disewakan.

Tambah Pendapatan

Macam yang saya cerita sebelum ni, saya cuba tambah income dengan pelbagai cara. Antaranya dengan UBER, jual emas di Turki dan cubaan bisnes-bisnes lain yang tak menjadi.

Dengan kekangan kerja saya pada ketika itu sebagai pensyarah saya terpaksa membuat satu keputusan besar. Iaitu berhenti kerja.

Berhenti Kerja

Sebenarnya saya dah tersilap langkah.

Ini jawapan jujur saya kenapa saya berhenti kerja sebagai pensyarah. Sangat best kerja di UiTM ni. Saya memang suka mengajar.

Ceritanya macam ni. Masa main emas dulu, konon ada pendapatan sampingan dari Program ETA. ETA ni kononnya beli emas murah tapi emasnya sampai kemudian.

Delay 7 hari. Delay 14 hari sampai la sekarang delay bertahun-tahun. Masa tu sedap la. Sebulan boleh dapat 5 angka. Pelaburan skim cepat kaya la katakan.

Masa bajet kaya tu saya beli liabiliti besar. Banglo sendiri duduk yang mana installment nya 2x ganda gaji saya masa tu dan Honda Accord yang kononnya disewakan lepas tu hilang.

Dua komitmen ini dan komitmen-komitmen lain membuatkan saya terduduk.

Banglo tu saya sempat duduk setahun lebih je. Sempat la berlagak kejap.

Sekarang dah sedar diri maka disewakan pada Zara Aisyah Care Centre. Semoga warga emas kat sana suka la rumah saya tu. Jaga rumah saya baik-baik tau. Nanti saya dah mampu balik saya nak duduk situ tanam pokok. Berkebun

Saya tersilap langkah. Saya sangka panas sampai ke petang. Rupanya hujan di tengahari.

“Saya mesti cari jalan keluar..”.

Itu semangat saya pada masa tu..

Jual Emas Di Turki

Bilamana dah tak jalan program ETA tu baru saya ke Turki jual emas kat sana. Sama juga. Sekejap aje bertahan. Yela. Buat benda tak ikut jalan betul. Memang cari masalah.

Ada sekali Pak Mertua tanya. Sampai bila nak buat kerja jual emas ke Turki ni. Saya terdiam. Soalan tu yang saya tak dapat nak jawab. Betul juga cakap dia. Sampai bila nak amik risiko. Saya gembira je dapat berjalan ke tempat orang. Tapi family kat rumah risau. Apa la saya buat kat sana. Dorang risaukan keselamatan saya

Bila fikir-fikir balik apa la berani sangat saya ni.

“Saya mesti cari jalan lain..”

Nak cari jalan lain yang mencabar ni. Kita nak lompat buat satu benda yang bukan bidang kita. Bukan senang woo.

Masa tu fikiran saya dah serabut dah. Ada kelas yang saya skip (saya kan lecturer.. kerja lecturer pergi kelas la kan?).

Bila saya skip kelas. Tak datang kerja. Itu buatkan saya bertambah kusut lagi. Yela, tanggungjawab kita kan. Masa tu saya rasa tak sedap dah. Nak berhenti ada kontrak dengan UiTM. 7 tahun pulak tu (Saya pensyarah di bawah Skim Tenaga Pengajar Muda).

Nak berhenti kena bayar banyak. 6 angka juga. Namun saya percaya ada sinar dihujung sana.

Datang Keyakinan

Pada masa saya serabut, kusut, ada beberapa perkara yang berlaku yang membuatkan saya yakin saya ada satu peluang yang menanti. Satu peluang yang boleh mengubah hidup saya..

Peluang ini saya dapat dari perkara-perkara berikut..

  1. Abang saya, seorang perunding hartanah, yang terus-terusan berjaya menjual rumah mahal
  2. Saya terbaca buku yang menceritakan kisah kejayaan Real Estate Agent.

Saya kemudian buat keputusan untuk menjadi perunding hartanah.

Alhamdulillah. Allah temukan saya dengan kerjaya perunding hartanah. Saya sertai Weise International Property Consultants Sdn Bhd tahun lepas, bulan July tahun 2015. Komisyen pertama saya bulan Ogos 2015.

Saya selesa dengan kerjaya ni. Sedikit sebanyak pendapatan saya mampu untuk memperbetulkan kesilapan saya dahulu. Berikut adalah pencapaian saya setakat hari ini:

  • Oct 2015 – Top 3 Producer – Overall
  • Sept 2015 – Top 1 Producer – Overall
  • Jan 2016 – Top 1 Producer – Overall
  • March 2016 – Top 1 Producer – Overall.
tersontot emas
Antara pencapaian En Safuan sebagai perunding hartanah.

Jangan Putus Asa

Untuk yang di luar sana yang mengalami apa yang saya lalui, kuatkan semangat. Jangan sedikit pun putus asa. Kadang-kadang apa yang jadi ini mungkin suatu ‘blessing in disguise’ yang kita tak terus nampak pengajaran dan hikmahnya.

Kesimpulan

Begitulah jatuh bangunnya En Safuan. Beliau kini merupakan antara ejen yang paling berjaya di Weise Property dan juga antara speaker ternama dalam industri hartanah. Ambe ucapkan jutaan terima kasih atas perkongsian beliau di laman ini. Selamat maju jaya.

7 thoughts on “Tersontot Emas. Lelaki Ini Tersungkur Lalu Bangkit.

  1. Hebat ko punya “terduduk” ni…

    Aku respek sebab ko boleh bangkit balik… sebab biar 1000 peluang yang datang tapi kalau hati tak cekal berjuang…tak kemana

    alhamdulillah tahniah dan saksess

Leave a Comment

Langgan Panduan Hartanah. Percuma.

Dapatkan panduan hartanah dan senarai rumah bawah nilai pasaran terus ke e-mel. Percuma. Janji tiada spam.