
Hi saya Arif Hussin, perunding hartanah. Saya dah ceburi bidang hartanah lebih kurang 14 tahun. Tak lama. Tapi dalam industri hartanah, 14 tahun tu agak panjang. Bidang ni bukanlah mudah. Ramai yang datang dan pergi.
Latar Belakang
Saya berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Mendapat pendidikan awal di Maahad Muhammadi Lilbanin, saya kemudian melanjutkan pelajaran ke UiTM dan United Kingdom. Saya mendapat tauliah dalam bidang perakaunan sebagai seorang Chartered Accountant (ACCA).
Saya mula kerjaya sebagai seorang auditor di firma perakaunan Deloitte. Ketika itu banyak terlibat dengan syarikat dan konglomerat hartanah seperti Mah Sing, Malton, Glomac dan Amanah Raya. Selepas Deloitte, saya bertugas di Petronas Carigali sebagai akauntan projek.
Bermula Kerjaya Ejen Hartanah
Minat kemudian membawa saya kembali ke bidang hartanah. Saya berhenti dari Petronas dan bermula kosong. Dari seorang akauntan kepada seorang ejen.
Awal usia dalam bidang ejen hartanah, bukanlah mudah. Diuji dengan pelbagai cabaran berdepan dengan kes jual beli yang sukar. Namun dari benda sukar, jatuh bangkit inilah kita belajar sesuatu. Dari situlah ilmu yang saya dapat untuk bantu klien seterusnya dalam proses jual beli.
Menguruskan Agensi Hartanah
Tahun kedua dalam bidang hartanah, saya diberi kepercayaan untuk menguruskan agensi hartanah bersama rakan niaga yang lain. Sekali lagi bermula kosong. Agensi yang kami uruskan bermula dengan bilangan ejen tak sampai 20 orang.

Perkembangan agensi tidaklah laju, tapi alhamdulillah agensi yang kami uruskan pada hari ini sudah ada bilangan sekitar 2000 orang ejen.
Aktif Sebagai Perunding Hartanah
Sekalipun ada tugasan menguruskan agensi hingga tahun 2026, saya aktif sebagai perunding hartanah dan merupakan antara perunding hartanah terbaik agensi sehingga sekarang.
Tahun 2026 sekali lagi saya buat keputusan besar. Saya melepaskan jawatan saya dalam pengurusan untuk menumpukan sepenuh masa saya kepada khidmat jual beli. Saya tidaklah ke mana, masih lagi bersama agensi yang saya bantu bina bersama rakan kongsi sebelum ini.
Mungkin kerana kepuasan. Bila suatu kes tu selesai dan saya lihat kegembiraan penjual melepaskan hartanah mereka. Pembeli pula seronok bila pinjaman mereka lulus. Seronok bila terima kunci.
Misi Blog
14 tahun dalam industri ni, saya dah bantu ratusan pemilik dan pembeli dalam urusan jual beli. Dari pengalaman ini lah timbulnya idea untuk hasilkan blog ini.
Misi blog ini mudah sahaja:
Blog ini bertujuan memberi maklumat yang tepat dan sempurna untuk bantu pembeli dan penjual hartanah mencapai hajat mereka dalam jual beli hartanah.
Sebenarnya jual beli hartanah ni melibatkan impian.
Seorang penjual melepaskan rumahnya kerana hasil dari jualan rumah itu, mereka ada hajat yang nak dicapai.
Ada yang nak beli rumah baru, tuai hasil pelaburan. Ada juga yang jual kerana masalah kewangan dan nak mulakan hidup baru.
Pembeli pun begitu juga. Ada pembeli yang beli rumah pertama kerana nak mulakan kehidupan berumahtangga. Ada yang beli kerana pelaburan atau nak rumah yang lebih selesa.
Yang jadi halangan utama penjual dan pembeli ni adalah maklumat. Bagaimana nak uruskan jual beli supaya impian tersebut dicapai.
Malangnya, kekurangan maklumat tu lah selalunya yang buat kita dengar berlaku kes-kes jual beli yang tak berjaya dan lebih teruk lagi kes penipuan.
Itulah tugas yang saya ambil tanggung jawab, sebagai seorang ejen hartanah. Dan blog ini adalah wadahnya.
Sekian,
Arif Hussin