Tips Pengurusan Kewangan Dan Persediaan Beli Rumah

Sebelum beli rumah, buatlah persediaan yang rapi. Persediaan utama termasuklah dari segi kewangan. Dalam artikel Tips Pengurusan Kewangan Dan Persediaan Beli Rumah ni saya akan jelaskan bagaimana.

1) Dapatkan Pekerjaan Yang Stabil

dapatkan pekerjaan yang stabil

Nak beli rumah sudah tentulah kena ada pendapatan. Nak ada pendapatan kenalah berkerja.

Jika boleh carilah pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan anda. Anda dah belajar bertahun-tahun. Sudah tentulah nak berbakti dalam bidang yang anda dalami.

Namun kalau sukar dapat pekerjaan, jangan pula terlalu memilih.

Kerja di bidang yang kita mahir tak semestinya menjanjikan kejayaan.

Bukan latar belakang pengajian yang utama. Semasa kerja nanti sikap kita lebih penting.

Kita mesti bekerja keras, cekal dan memberikan hasil. Itulah dicari oleh majikan sebenarnya.

Apa ciri kerja yang baik?

Pilihlah syarikat atau bidang yang ada jalan kerjaya yang jelas.

Yang memberikan anda peluang untuk menimba ilmu dan pengalaman.

Yang stabil dari segi pengurusan kewangan dan organisasi.

Yang memberi anda ruang untuk melakukan kesilapan dan perbetulkan.

Syarikat kecil pun tak mengapa. Janji ada ciri ini.

Bila anda dah berkerja pula, pastikan majikan tunaikan hak anda. Gaji mesti dibayar tepat masa.

Kita tak mahulah majikan yang cilok. Kita dah buat kerja. Mereka pula yang berhutang.

Bukan setakat kita sengsara, nak beli rumah pun sukar kalau majikan ada karenah.

Majikan juga wajib mencarum dengan KWSP dan Perkeso.

KWSP penting sebagai simpanan setelah pencen nanti. Ianya juga satu elemen kritikal semasa beli rumah.

Bila beli rumah nanti, bank akan minta penyata KWSP dari anda. Mereka akan nilai pendapatan anda stabil atau tidak melalui penyata tersebut.

Kalau majikan lambat bayar, kantoilah. Terjejas skor kredit. Pinjaman mungkin ditolak atau kadar keuntungan bank naik.

Jadi jangan lupa semak penyata KWSP anda dari masa ke semasa. Nak dapatkan penyata tak susah pun.

Boleh terus ke cawangan KWSP atau Easy RHB. Kat situ ada mesin boleh cetak penyata. Bawa IC je.

Selain itu, setelah anda berkerja beberapa tempoh, pastikan status anda ditukar kepada pekerja tetap.

Kebiasaannya majikan akan nilai pekerja dalam tempoh 6 bulan. Jika anda masih tak dapat status berkerja tetap setelah tamat tempoh tu, bincanglah dengan majikan.

Ini kerana bank luluskan pinjaman untuk mereka yang berstatus kontrak.

Namun ini tidak terpakai untuk yang berkerja kerajaan. Anda dah boleh memohon pinjaman jika dah berkerja lebih 6 bulan.

2) Tambahkan Pendapatan Dengan Kerja Sampingan

buat kerja sampingan

Jika seseorang berpendapatan RM2000 ke bawah, percayalah agak sukar untuk bank luluskan pinjaman beli rumah.

Ini kerana bank dah tolak siap-siap sebahagian dari pendapatan tu sebagai kos sara hidup.

Untuk yang berkeluarga misalnya, sesetengah bank tetapkan RM1500 dari pendapatan tidak boleh digunakan untuk bayar pinjaman.

Ini apa yang dipanggil sebagai Net Disposable Income Threshold.

Dalam kes pendapatan RM2000 tadi, hanya RM500 boleh guna untuk bayar pinjaman perumahan.

RM500 ni hanya boleh beli rumah sekitar RM80,000-RM100,000 sahaja.

Itu pun kalau anda tak ada pinjaman lain seperti pinjaman peribadi dan kereta.

Tapi yang gaji lebih tinggi pun jangan senyum.

Gaji besar makin banyaklah keraknya. Ada orang cukup dengan RM2000 untuk hidup.

Ada yang RM10000 pun tak cukup. Bila beli rumah pinjaman tak lulus.

Justeru…

…dengan cabaran kos sara hidup sekarang, tak salah jika kita buat kerja sampingan. Terutama jika kita masih muda.

Namun begitu saya nak bagi tips. Tidak semua perkerjaan sampingan sama di mata bank.

Yang paling mudah nak buat pinjaman adalah kerja sampingan yang ada kontrak servis.

Macam mana tu?

Maksudnya anda diberi kontrak oleh majikan untuk menjadi ejen atau pekerja mereka.

Contoh kerja seperti jurujual, perunding hartanah, takaful, ejen Coway.

Kalau nak buka bisnes pun boleh. Tapi bank mahu bisnes yang dah dua tahun beroperasi.

Kalau buka syarikat harini, 2 tahun lagi baru boleh beli rumah. Masaklah nak tunggu. Haha.

Apa pun pilihan anda…

…buatlah bisnes sampingan yang kena dengan minat. Atau mungkin yang berkait dengan kerja utama.

Bila kena dengan minat, tak rasa sangat penat tu. Bahkan menajamkan lagi kemahiran.

Kerja di bidang jualan pun sangat baik untuk membina karakter. Anda juga bina soft-skills bila terlibat.

Pedulikan apa orang nak kata. Kadangkala kita tak bertindak kerana malu. Malu itu penghalang kepada kejayaan.

3) Buat Bajet Dan Kurangkan Perbelanjaan

buat bajet dan kurangkan belanja

Bila beli rumah ramai yang terlupa:

Sekalipun anda boleh layak beli rumah mahal, tak semestinya anda mampu.

Anda mungkin layak beli rumah berharga RM500,000. Tapi anda mampu ke nak bela rumah tu dengan bayaran bulanan RM2500?

Ini yang anda kena tanya diri anda sebelum buat belian.

Kita ni tak sama. Setiap kita ada komitmen tersendiri.

Sekalipun gaji besar, ada yang tanggung adik-beradik belajar. Ada yang bayar perubatan mak ayah yang sakit. Dan macam-macam komitmen lain.

Jadi kuncinya selain tahu berapa yang kita layak, kita juga mesti tahu berapa yang kita mampu.

Nak tahu berapa yang kita mampu kenalah buat bajet bulanan.

Senaraikan semua perbelanjaan yang perlu dibayar dan buat anggaran kos. Ini termasuklah bil, komitmen hutang, duit rumah.

Kemudian, track perbelanjaan harian anda. Untuk ini saya cadangkan anda minimumkan penggunaan tunai.

Lebihkan penggunaan kad debit kerana adanya butiran transaksi.

Saya secara personal buat begini…

…saya dah set perbelanjaan saya setiap bulan yang guna duit tunai. Yang ini hanya untuk belanja makan luar semasa berkerja atau barang runcit yang kecil.

Selain daripada ini, saya gunakan kad debit atau kad kredit. Ini termasuklah untuk bayaran petrol, beli belah barang keperluan dan lain-lain.

Pada akhir bulan, saya lihat balik penyata bank dan kategorikan semua kos ini.

Yang saya keluarkan dari ATM, ni untuk duit belanja makan.

Yang lain, saya dapat tahu kos apa dari butiran transaksi bank.

Setelah dikategorikan, saya compare balik dengan bajet yang telah saya buat.

Jika anda buat langkah ini secara konsisten anda akan dapat lihat kat mana pembaziran.

Anda kena tanya diri dan buat penilaian…

“Eh Astro ni betul perlu ke? Aku dah la sibuk tak sempat pun tengok. Anak tengok Youtube je.”

“Internet ni langgan 30mbps, perlu ke? Mungkin 10mbps dah cukup laju kot”

“Bulan ni banyak betul makan kat luar. Mungkin kena jimat sket”

Bezakan mana keperluan dan kehendak. Dan potonglah belanja yang tidak perlu.

Di akhirnya anda akan dapat ukur:

  • Berapakah amaun yang berjaya disimpan
  • Berapakah amaun yang anda mampu bayar untuk beli rumah

4) Elakkan Hutang Nakal

elak hutang nakal

Orang muda memang darah tengah panas. Pantang undur kalau pergi shopping dan showroom.

Akhirnya sebab nak angkat gajet yang paling terkini atau kereta yang paling canggih…

…mereka terjebak dengan hutang.

Beli barangan sebegini ibarat cinta monyet. Ianya tak kekal lama.

Bila dah keluar iPhone baru…hilanglah sayang dengan yang ditangan.

Bila kereta baru dah hilang wangi…mulalah rasa menyesal tanggung beban bulanan yang besar.

Lebih pilu bila tengok Mudah.my: “Aduhhh banyaknya jatuh harga”.

Tak kurang juga yang kekal terlanjur. Kekal beli yang terkini dan yang terbaru. Dah beranak dua pun gagal disiplinkan diri.

Mereka terus alpa dan terlupa buat perancangan beli rumah.

Lebih teruk ada yang muflis pada usia muda. Harta kena beku. Kena buang kerja.

Anda mesti tahu prioriti. Bukan tak boleh enjoy. Tapi berpada-pada.

Pada permulaan kehidupan, tak salah beli kereta terpakai yang baik, naik motor atau guna pengangkutan awam buat sementara.

Nota: anda kena berhati-hati beli kereta terpakai. Kadar faedah yang dikenakan adalah lebih tinggi dari kereta baru. Cara yang baik adalah beli kereta terpakai dengan kondisi yang baik secara tunai.

Bila berkahwin pula, rancang belanja perkahwinan. Jangan membazir sampai berhutang nak bernikah. Kalau tak mampu, buat kecil-kecilan. Ianya lebih berkat.

Penggunaan kad kredit pula hanya untuk barang keperluan. Dan bayar terus selepas guna.

Sebab apa saya kata semua ini…

Bila anda terjebak dengan hutang nakal, nak beli rumah semakin sukar.

Andai kata gaji anda sekitar RM2800 dan anda dah guna RM1000 dari gaji untuk bayar hutang nakal misalnya. Tahukah anda berapa harga rumah yang anda mampu?

Anda bernasib baik kalau bank luluskan pinjaman RM60,000.

5) Jaga Rekod Kewangan Anda

jaga rekod kewangan

Jika anda berhutang, pastikan bayar tepat masa.

Jangan bertangguh. Rekod kelewatan akan dicatat terus oleh sistem CCRIS Bank Negara.

Bila anda buat permohonan pinjaman, bank akan buat semakan. Besar kemungkinan permohonan ditolak jika rekod CCRIS teruk.

Ada situasi pinjaman masih boleh lulus. Namun kadar keuntungan yang dikenakan akan jadi tinggi. Maka seksalah bayar bulanan.

Nak selamat, terus buat auto debit untuk bayar komitmen bulanan. Ini dapat elakkan anda dari terlupa.

Selain itu elakkan juga dari menjadi penjamin. Dah ramai yang terkena. Bila yang dijamin tak bayar, hutang mereka menjadi tanggungan anda.

Nak mohon pinjaman pun sakit. Amaun yang dijamin tu turut dikira sebagai komitmen anda.

Elakkan juga jual kereta melalui kaedah sambung bayar. Memanglah kaedah ini lebih mudah. Tapi risiko untuk pembeli tak bayar tu ada. Bila tak bayar, anda yang kena.

Sedikit tips…

…bila anda terima apa-apa pendapatan, pastikan semua wang yang diterima dimasukkan ke dalam bank.

Ini termasuklah pendapatan sewa, kerja sampingan dan lain-lain.

Jangan pula terima tunai dan belanja pun tunai. Bank tak nampak aliran duit. Nanti tak dapat pula jadi sokongan untuk belian rumah.

6) Dapatkan Sokongan Moral Dan Kewangan

Dapatkan sokongan moral dan kewangan

Nak beli rumah ni perlu keazaman yang tinggi. Kadang niat tu boleh tergelincir.

Ada sahaja kerisaunnya. Ada sahaja benda lain yang menggoda.

Bila anda dah berniat nak beli rumah, beritahulah kepada keluarga dan juga sahabat terdekat.

Saya yakin mereka akan memberi sokongan moral dengan niat anda. Anda juga akan naik segan jika hajat tu tak tercapai.

Mak ayah kita misalnya pasti gembira bila mengetahui hajat tersebut. Ianya satu fasa kehidupan besar. Yang telah mungkin mereka lalui sebelum itu. Mudahan mereka mendoakan anda.

Mak ayah yang berkemampuan juga mungkin memberikan pertolongan dari segi kewangan. Terimalah pertolongan tersebut selagi tak menyusahkan mereka. Dan jangan lupa bayar balik.

7) Dalami Ilmu Hartanah

dalami ilmu hartanah

Sebelum beli rumah, cukupkan ilmu di dada. Ini untuk elakkan anda terjerat dan mungkin tertipu.

Oleh kerana hartanah ini melibatkan amaun yang besar, ramai scammer diluar sana menanti anda buat kesilapan.

Janganlah terpedaya dengan tawaran yang ‘too good to be true’. Kalau sampai kepada anda tawaran banglo RM50,000, percayalah rumah tu takkan siap.

Ada juga tawaran pemaju yang sah. Nampak semua indah. Macam-macam percuma. Tapi jika tersilap beli, anda rugi besar. Selalu terjadi untuk rumah under-construction.

Jika anda sangsi dan kurang pengetahuan, beli rumah yang dah siap adalah lebih selamat. Anda dah tahu antara lain bagaimana kejiranan di situ dan berapa sewa yang dapat diperoleh.

Harga juga mungkin dah stabil.

Selain itu elakkan prejudis kepada ejen hartanah. Mereka tak mark-up harga rumah jangan bimbang. Itu kerja broker haram.

Ejen hartanah yang berdaftar (macam saya, ehem) dapat membantu anda beli dengan kaedah yang selamat. Kerjaya perunding hartanah ini ada badan yang pantau di bawah Kementerian Kewangan.

Saya juga sarankan anda, memperbanyakkan bacaan tentang hartanah. Selain blog ini, ada banyak buku hartanah di luar sana yang dapat melengkapkan pengetahuan anda.

Ikuti juga mentor hartanah yang betul seperti Fairul Ridzuan dan Ahyat Ishak. Namun hati-hati memilih guru. Dekat luar sana ada yang bagi ajaran sesat dan nak melariskan kelas sahaja.

Pengurusan Kewangan Mesti Datang Dengan Disiplin

Sebelum saya akhiri artikel ini, suka saya nak ingatkan. Disiplin adalah kunci dalam pengurusan kewangan peribadi.

Anda mungkin dah ada ilmu asas, tapi tak guna jika tak laksanakan apa yang sudah saya kongsikan dengan berdisiplin dan konsisten.

Tetapkan matlamat dan bertindak. Mudahan anda berjaya miliki rumah secepat mungkin.

Berikut artikel lain yang boleh membantu tuan puan:

Leave a Comment