Bila berlaku perceraian, antara perkara yang perlu bekas pasangan uruskan ialah rumah. Jalan yang terbaik mungkin dengan menjual rumah tersebut. Kemudian hasil jualan dibahagikan antara bekas pasangan. Tapi bagaimana cara yang sepatutnya? Dalam artikel ini saya nak terangkan bagaimana cara nak jual rumah bila bercerai.
Selesaikan Tuntutan Harta Sepencarian
Dalam banyak keadaan, saya cadangkan bekas pasangan selesaikan tuntutan harta sepencarian sebelum jual rumah.
Dengan cara ni, hakim boleh jadi akan keluarkan perintah jualan dan tentukan terus cara pembahagian hasil jualan yang adil kepada bekas pasangan.
Cara ni juga dapat elak pertikaian. Terutama dalam situasi yang mana bekas isteri atau suami tiada nama dalam geran rumah (rumah satu nama).
Sekalipun rumah satu nama, hakim boleh keluarkan perintah supaya bayaran dibuat kepada kedua-dua pihak dengan cara pembahagian yang sesuai.
Bila urusan jualan hartanah selesai, peguam jual beli hartanah akan buat bayaran kepada bekas isteri dan suami mengikut perintah mahkamah yang dikeluarkan.
Kalau anda dah dapat perintah mahkamah, rujuk artikel Cara Jual Rumah yang saya tulis ni untuk mulakan proses jualan.
Boleh Ke Jual Rumah Tanpa Lalu Proses Mahkamah Bila Bercerai?
Ada yang mungkin rasa proses mahkamah ni memakan masa dan tenaga. Jadi persoalannya boleh ke jual tanpa buat proses tuntutan harta?
Jawapannya ya, bekas pasangan boleh jual rumah tanpa buat tuntutan harta sepencarian.
Dalam situasi macam ni, proses jualan akan ikut proses jualan rumah biasa.
Walaupun begitu, saya tak berapa cadangkan kerana mungkin akan timbul masalah.
Kalau bekas pasangan nak teruskan juga, ada beberapa persoalan yang perlu mereka timbang sebelum buat keputusan.
1) Bekas pasangan mesti setuju cara pembahagian
Jika rumah satu nama, peguam jual beli rumah akan bayar hasil jualan kepada penama rumah sahaja.
Melainkan jika ada perjanjian dari penama rumah, yang bersetuju untuk buat bayaran kepada bekas pasangannya.
Nota: peguam jual beli rumah boleh drafkan perjanjian ini.
Kalau dalam kes nama bersama pula, hasil jualan akan dibahagikan sama rata (50:50) antara bekas isteri.
Misal kata salah seorang bekas pasangan merasakan mereka perlu dapat hasil jualan yang lebih, peguam tak boleh teruskan selagi tak dapat persetujuan pihak satu lagi.
2) Bekas pasangan mesti setuju harga jualan dan anggaran hasil yang boleh diperoleh
Kedua bekas pasangan juga mesti setuju harga jualan rumah.
Saya pernah uruskan kes perceraian, yang mana kedua bekas suami dan isteri tak dapat berkomunikasi dengan baik.
Kedua mereka sukar nak capai kata sepakat tentang harga. Akhirnya jualan tak dapat diteruskan.
Selain itu, mereka juga mesti dapat anggaran awal berapakah yang mereka boleh dapat.
Dan anggaran ini kena dapat persetujuan awal. Kalau tahu lewat, boleh jadi berlaku pertikaian.
3) Bekas pasangan mesti komited untuk selesaikan jualan rumah
Bekas pasangan juga mesti komited untuk selesaikan jualan rumah. Terutama jika rumah nama bersama.
Ini kerana jualan rumah tu perlukan tandatangan dari kedua pihak untuk perjanjian jual beli dan borang pindah.
Yang membimbangkan bila pembeli bersetuju buat belian, tapi salah seorang bekas pasangan tak beri komitmen untuk tandatangan perjanjian. Ini juga akan gagalkan jualan.
Jika bekas pasangan dapat perintah jualan mahkamah, proses ini lebih senang. Kalau salah seorang tak komited mereka boleh laporkan kepada mahkamah untuk tindakan menghina mahkamah.
Sebab itu saya berpendapat jalan terbaik ialah dengan membuat tuntutan.
4) Bekas pasangan mesti boleh dihubungi
Ada kes perceraian, bekas suami atau isteri menghilangkan diri.
Untuk rumah nama bersama, bekas pasangan mesti boleh dihubungi untuk sempurnakan jualan rumah.
Jika anda berada dalam situasi begini, sebolehnya anda buat tuntutan di mahkamah.
Prosesnya mungkin panjang, tapi jika berterusan tak dapat dihubungi, hakim mungkin boleh mengarahkan jualan tanpa persetujuan pihak yang satu lagi.
Assalamualaikum Tuan, rumah satu nama, penjualan rumah pula tidak melalui mahkamah, jika rumah dijual tetapi hasil jualan tidak diberi kepada bekas pasangan mcm mana ya Tuan?
Sebelum sign S&P, minta lawyer keluarkan satu surat pengesahan yang hasil jualan akan dibahagi 50:50. Tapi kalau S&P dah sign, atas budi bicara penama.
Sebagai alternatif, boleh juga tuntut harta sepencarian melalui mahkamah.