Berapa Komisen Ejen Hartanah Untuk Jual Rumah

Soalan: Berapa komisen ejen hartanah bila nak jual rumah? Dan macam mana nak buat bayaran tu?

1) Komisen ejen hartanah untuk jual rumah

Fi ejen hartanah ni bergantung kepada jenis hartanah yang anda nak jual.

Untuk tanah dan bangunan, ejen hartanah boleh kenakan fi sehingga 3% dari harga jual. Sebagai contoh, jika rumah berharga RM100,000 dan kadar komisen ialah 3%, jumlah amaun anda kena bayar adalah sebanyak RM3,000.

Kalau anda perasan, komisen ejen hartanah tu tak semestinya 3%. Ianya sehingga 3%. Maksudnya anda boleh bincang dengan ejen untuk dapatkan kadar yang lebih rendah.

Cuma dekat Lembang Klang, kadar fi normal adalah 3%. Tak ramai ejen yang setuju kalau kadar tu kurang 3%. Nanti saya terangkan lebih lanjut.

YouTube video

Selain itu…

Ejen hartanah bukan setakat boleh jual tanah dan bangunan je. Mereka juga boleh jual jenis hartanah lain macam loji, mesin dan juga perniagaan. Untuk harta jenis ni, ejen boleh kenakan fi sebanyak 10% dari harga jual.

2) Bagaimana pula caj ejen hartanah untuk sewa rumah

Bagaimana pula untuk sewa?

Kalau anda lantik ejen hartanah untuk sewakan rumah, fi ejen hartanah bergantung kepada berapa lama kontrak sewa tersebut:

  • Untuk kontrak sewa sehingga 3 tahun – 1.25 bulan sewa
  • Lebih 3 tahun hingga 4 tahun – 1.5 bulan sewa
  • Lebih 4 tahun hingga 5 tahun – 1.75 bulan sewa
  • Lebih 5 tahun – 1.75 bulan sewa

Sebagai contoh, katakan sewa rumah anda ialah RM1,000 sebulan dan kontrak sewaan adalah 2 tahun. Ejen boleh kenakan fi sebanyak RM1,250.

Walaupun begitu, dekat Lembah Klang, biasanya ejen hanya kenakan fi minimum 1 bulan untuk sewaan rumah. Kalau sewa rumah tu RM1,000, fi agensi adalah RM1,000 sahaja. Yang ni cara yang paling banyak digunakan.

3) Perlu ke saya bayar service tax

Untuk agensi yang cukup syarat dan berdaftar dengan kastam, mereka wajib pungut SST dari anda.

SST ni sebanyak 6% dari komisen. Dari komisen ya, bukan dari harga jual.

Katakan fi agensi ialah 3%, SST yang anda kena bayar ialah 0.18% (6% SST x 3% komisen). Ini menjadikan jumlah yang ejen pungut sebanyak 3.18% dari harga jual.

Untuk sewaan, andai kata fi adalah RM1000. Jumlah yang ejen akan pungut dari anda adalah sebanyak RM1060.

4) Macam mana cara bayaran caj ejen hartanah ni

Ramai yang takut nak lantik ejen hartanah sebab mereka ingat kena bayar pendahuluan atau dari poket sendiri.

Sebenarnya tidak. Ejen hartanah ni tak boleh minta wang pendahuluan dari penjual. Itu salah dari segi etika.

Cara bayaran yang betul adalah macam ni…

Bila ada pembeli, pembeli akan bayar wang tempahan atau booking fee. Booking fee ni dibayar kepada akaun klien agensi.

Ejen kemudian akan buat kerja untuk bantu pembeli dapatkan pinjaman dan hubungkan mereka dengan peguam.

Dalam tempoh ni, booking fee tu masih lagi dalam akaun klien. Ejen tak boleh keluarkan dan tuntut sebagai komisen.

Sebabnya transaksi jual beli tu belum lagi sah. Katakan pembeli batalkan belian, ejen akan keluarkan duit tu dan bayar separuhnya kepada anda sebagai pampasan.

jual rumah guna ejen hartanah

Kalau anda pula yang batalkan jualan, ejen refund balik duit tu kepada pembeli.

Dalam tempoh ni, tugas ejen adalah sebagai orang tengah untuk jaga kepentingan penjual dan juga pembeli.

Bila anda dan pembeli tandatangan perjanjian jual beli, masa tu barulah ejen boleh keluarkan duit tu dari akaun klien. Mereka kemudian tuntut amaun tu sebagai komisen.

Secara pendeknya, anda tak perlu keluarkan duit up front untuk bayar ejen. Anda bayar ejen ni melalui booking fee yang pembeli bayar.

5) Mahalnya komisen ejen hartanah ni

Kos ejen hartanah ni tinggi. Kalau anda rasa macam tak berbaloi bayar, anda boleh pilih untuk jual sendiri atau runding komisen tu dengan ejen.

Baca juga: Panduan Dan Cara Jual Rumah Di Malaysia

Tapi ada sebab kenapa komisen ejen hartanah tu tinggi.

Untuk jual satu rumah, ejen hartanah perlu buat banyak langkah:

  • Semak harga pasaran rumah
  • Ziarah ke rumah untuk nilai keadaan
  • Beri khidmat nasihat kepada penjual
  • Sediakan material untuk iklan
  • Buat pengiklanan
  • Tapis prospek pembeli
  • Bawa prospek pembeli untuk lihat rumah
  • Bantu pembeli untuk dapatkan pinjaman dengan bank yang sesuai
  • Hubungkan penjual dan pembeli dengan bank

Semua proses ini ejen akan jalankan dengan konsisten. Kalau pembeli datang tengok rumah dan tak terus, mereka akan ulang proses ini sehingga etrjual.

Dan kerja ini juga melibatkan kos. Kalau mereka tak dapat jual rumah, anda tak perlu tanggung pun kos ini.

Jualan rumah juga akan lebih cepat kerana mereka mahir dengan pasaran dan ada jaringan profesional.

Baca Juga: Panduan Jual Rumah Guna Ejen Hartanah

Mereka tahu bank mana yang patut pembeli guna untuk lulus pinjaman. Mereka juga akan cadangkan peguam yang berpengalaman dalam hartanah.

Anda memang boleh buat sendiri. Tapi dalam banyak keadaan, jual melalui ejen adalah lebih efektif.

6) Siapa kawal fi ejen hartanah

Ejen hartanah ni sebenarnya kerjaya profesional. Macam arkitek, peguam dan lain-lain, fi mereka tak boleh dicaj sewenang-wenang.

Lembaga Penilai, Pentaksir Dan Ejen Hartanah (LPPEG) adalah badan yang kawal profesyen ejen hartanah. Merekalah yang tetapkan caj ejen hartanah ni.

Anda boleh rujuk laman Ketetapan Fi Ejen Hartanah di website LPPEH untuk tahu lebih lanjut.

7) Ejen saya kenakan caj lebih dari sepatutnya

Kalau ada ejen yang caj lebih dari sepatutnya, itu dah melanggar piawaian yang LPPEH tetapkan. Anda boleh buat laporan kepada mereka dan ejen hartanah tu akan dikenakan tindakan.

8) Boleh ke komisen ejen hartanah ni saya markup dalam harga rumah

Boleh. Sebagai contoh, katakan anda nak jual rumah dengan harga RM500,000 tak termasuk komisen ejen hartanah.

Anda boleh minta ejen tadi untuk jual rumah anda pada harga RM515,464 (100/97 x RM500,000).

Dengan cara ni maksudnya harga rumah yang anda nak tu, tak termasuk fi ejen.

Namun begitu, kalau nak buat cara ni kena hati-hati…

Bila markup harga rumah untuk tampung kos ejen, harga rumah anda mungkin boleh jadi tinggi berbanding rumah lain dekat pasaran. Akhirnya rumah tak laku.

Atau boleh jadi juga harga tu dah melebihi harga pasaran. Rumah mungkin ada pembeli tapi pembeli tak boleh dapatkan pinjaman yang cukup.

Sebelum buat cara ni, minta nasihat dari ejen tu terlebih dahulu. Tak guna sebenarnya kita berkira tentang fi ejen ni, tapi akhirnya rumah tak ada siapa yang nak beli.

9) Ada dua ejen yang berkerjasama untuk jual rumah, adakah kena bayar double

Bila ada dua ejen yang berkerjasama untuk jual rumah anda, kita panggil sebagai co-agency.

Satu ejen tu mewakili penjual. Dan satu lagi mewakili pembeli.

Dalam situasi macam ni, fi ejen hartanah penjual masih lagi 3%. Ejen yang mewakili penjual akan dapat 1.5% dan yang mewakili pembeli 1.5%.

10) Komisen ejen boleh kurangkan cukai

Komisen yang anda bayarkan kepada ejen ni anda boleh gunakan untuk kurangkan cukai hartanah yang anda perlu bayar kepada LHDN.

Anda perlu minta bukti bayaran dari agensi yang anda lantik dan serahkan dokumen tu kepada peguam untuk mereka buat kiraan.

Bukti bayaran tu anda perlu serahkan kepada peguam sebelum mereka hantar kiraan kepada LHDN. Biasanya seminggu dua selepas anda tandatangan perjanjian jual beli.

Leave a Comment

14 thoughts on “Berapa Komisen Ejen Hartanah Untuk Jual Rumah”

  1. Salam Tuan
    saya Hj mohamad bin mansor ingin mendapat pandangan Tuan.
    saya ada lah tuan punya syarikat perniagaan Dobi yang sedang menguruskan kedai dobi kami di Bt 3 shah alam . Oleh kerana kami dah lama menjalankan perniagaan ini saya rasa nak jual perniagaan kami kepada sesiapa yang hendak meneruskan perniagaan ini. Saya dan isteri dah tak mampu menerus kan perniagaan ini sabab kami dah tua dan tak terdaya untuk meneruskan nya. Boleh kah Tuan membantu kami untuk menjual perniagaan kami?

    Reply
  2. Salam. Tuan Arif,
    Saya Taufik, bercadang nk jual tanah di Pulay Indah.
    Boleh call/whatsapp no saya: 012-3012569

    Reply