Mana Lebih Baik: Beli Atau Sewa Rumah?

Keputusan beli rumah selalu jadi dilema. Patut ke beli? Atau sewa rumah lebih baik? Sebenarnya keputusan sewa atau beli rumah ni bergantung kepada beberapa faktor. Ada beberapa keadaan, sewa rumah lebih baik dari beli. Mari saya terangkan.

1) Bila Harga Rumah Terlalu Mahal Berbanding Kadar Sewa

Harga hartanah sekarang memang mencanak termasuklah harga pangsapuri dan kondominium.

Rumah teres lagi lah! Tak kurang setengah juta ringgit dengan bayaran bulanan sekitar RM2,500.

Untuk orang muda yang baru sahaja bekerja atau berkeluarga, mesti terasa beban nak bayar.

beli atau sewa rumah mana lebih baik
Teringat zaman saya mula berkeluarga dulu. Memang mencabar.

Ini pun belum lagi campur kos sampingan macam cukai pintu, cukai tanah dan boleh jadi yurang penyelenggaraan.

Jadi, apa kata sewa dulu.

Untuk rumah teres dua tingkat di Lembah Klang sekarang, kadar sewa hanya sekitar RM1,500 sahaja berbanding beli, dengan bayaran bulanan RM2,500.

Jimat sekitar RM1,000 sebulan! Setahun RM12,000! Banyak tu.

Duit tu anda boleh guna untuk kegunaan yang lain atau menyimpan.

Walaupun ada yang kata “Takpe, rugi seribu sebulan awal-awal. Tahun depan harga naik puluhan ribu”…

..tapi, realiti pasaran sekarang…

2) Harga Hartanah Bukanlah Selalu Naik

Antara sebab kita beli rumah cepat sebab takut harga semakin naik. Contoh, rumah RM500,000 sekarang, boleh jadi RM550,000 tahun depan.

Tapi trend hartanah sekarang tak sama macam 10 tahun dulu. Banyak tempat harganya kekal dan ada juga kawasan semakin turun kerana masalah tawaran lebih dari permintaan.

Banyak rumah tak terjual.

Kalau anda beli rumah sekarang, belum tentu harganya akan naik dalam jangka pendek. Jadi, sewa rumah mungkin lebih berbaloi.

Cuma ingat. Janganlah menyewa terlalu lama. Pasaran mungkin perlahan sekarang, tapi bukan selamanya.

Jangan sampai harga hartanah melonjak tinggi tanpa kita sedar.

3) Anda Masih Belum Mampu Beli Rumah

Beli rumah melibatkan banyak belanja.

Deposit dan kos lain boleh mencecah puluhan ribu ringgit. Contoh untuk rumah RM200,000. Anda kena sediakan sekitar RM26,000.

Besar jumlah tu. Apatah lagi kalau anda baru berkeluarga. Sesetengah kita ada juga komitmen untuk bantu mak ayah dan adik-beradik.

Dengan kos sara hidup yang tinggi sekarang, tidaklah salah kita sewa dulu.

Bila menyewa kita hanya perlu sediakan sekitar 2.5 kali sewa bulanan untuk deposit. Deposit tu pun akan dikembalikan bila kontrak tamat.

Yang penting, kita menyimpan sedikit demi sedikit dan tanamkan azam untuk memiliki rumah suatu hari nanti.

4) Anda Belum Pasti Menetap Di Mana Dan Tidak Mahu Terikat

Sewa rumah berikan kita kebebasan untuk berpindah. Ideal untuk anda yang selalu kerja berpindah randah atau anda belum pasti dekat mana anda bakal menetap.

Berbeza dengan beli rumah, anda tak ada fleksibiliti. Kalau terpaksa berpindah, satu hal pula terpaksa sewa atau jual rumah yang anda dah beli.

beli atau sewa rumah mana lebih baik
“Pindah lagi kita bang. Nanti contact la En Arip tu jualkan rumah ni”

Ini belum campur risiko beli rumah di lokasi yang salah.

Mungkin anda tak jangka tiba-tiba ada pembangunan yang jadikan tempat tu tak sesuai untuk duduk. Atau anda tak suka dengan suasana kejiranan.

Selain itu, kalau menyewa anda tak perlu fikir tentang kos ubahsuai rumah dan juga penyelenggaraan. Cari je rumah yang dah elok. Semua kos pemilik yang tanggung!

5) Anda Rasa Pelaburan Hartanah Bukan Untuk Anda

Rumah yang anda beli boleh jadi pelaburan jangka panjang. Rumah tu juga anda boleh sewakan kalau tak duduk.

Tapi realitinya nak uruskan rumah sewa ni bukan senang.

Kalau tak bernasib baik, bersedialah dengan karenah penyewa. Ada yang culas nak bayar sewa. Ada yang cerewet. Dan macam-macam ragam lagi.

Saya pernah urus rumah sewa sampai bateri remote TV pun dia minta kita ganti! 😅

Ada seorang klien saya, jual semua rumah sewa beliau sebab tak tahan renyah. Selepas jual dia fokus kepada peluang bisnes yang dia lebih mahir.

Yang jelasnya, pelaburan hartanah ni bukan untuk semua orang dan ianya bukan satu-satu cara untuk kita bina aset.

Kalau ada peluang bisnes atau pelaburan lain yang beri pulangan lebih tinggi, kenapa tidak?

6) Kurang Risiko Kewangan

Sewa rumah juga jadikan anda kurang terdedah dengan risiko kewangan.

Beli rumah melalui pinjaman ni besar tanggungan kewangan tu. Mungkin bakal menyebabkan perubahan gaya hidup dan kita tak lagi mampu menyimpan.

beli atau sewa rumah mana lebih baik
“Stressnya aku. Nak picit tang mana lagi bajet ni.”

Kadar keuntungan bank juga tak tetap dan bayaran boleh meningkat bergantung kepada keadaan ekonomi semasa.

Kalau kita tiba-tiba tak mampu bayar akan jejaskan profil kewangan.

Lebih parah kalau bank ambil tindakan lelong dan saman kebankrapan.

7) Anda Masih Belum Cukup Ilmu Beli Rumah

Beli rumah bukanlah terlalu susah, tapi anda perlu faham selok-beloknya!

Sebelum beli, uruskan kewangan peribadi anda. Pastikan anda beli rumah yang anda mampu bayar.

Dan mustahak juga anda kaji betul-betul apa yang anda beli. Dalam pasaran sekarang, ramai ‘jerung’ yang menunggu anda beli rumah dari mereka.

Sedangkan rumah mereka tu sebenarnya terlalu mahal dan tak ada masa depan pun. Terutama rumah ‘under-construction’.

Oleh itu, kaji dulu sebelum bertindak. Elak scammer. Elak terjerat. Kalau belum yakin, tak salah menyewa dahulu sambil kumpul ilmu.

Kesimpulan

Walau apa pun poin saya di atas, saya masih nak tegaskan, untuk jangkamasa panjang, beli rumah adalah lebih baik.

Tapi soal bila anda patut beli tu, timbanglah masak-masak. Jangan beli sebab orang lain beli. Tapi beli sebab kita dah bersedia.

Sebelum saya akhiri, berikut artikel yang boleh membantu:

Leave a Comment

4 thoughts on “Mana Lebih Baik: Beli Atau Sewa Rumah?”

  1. Artikal ini sangat bermanfaat juga untuk sesiapa dan pada semua peringkat umur sebab sekarang ni ramai yang terlalu gopoh dan lalai dalam berfikir dan buat keputusan lebuih lagi soal beli atau sewa rumah. bagi pendapat saya secara peribadi, sewa rumah lagi jimat dan selamat sebab tidak akan terbeban dengan HUTANG.

    Reply
  2. Apa pandangan tuan kalau kita konsisten melabur RM1000 dalam financial market seperti Unit Trust / ASB selama 30 tahun, rasanya lebih untung dari beli hartanah.

    Hasil keuntungan boleh diguna untuk beli rumah atau teruskan menyewa pun tak apa sebab duit dah banyak.

    Reply
    • Salam. Pada pendapat saya, hartanah akan lebih untung untuk jangkamasa panjang kerana:
      1. Ada leverage. Kita ada RM10,000, boleh beli hartanah bernilai RM100,000. Baki RM90,000 tu melalui pinjaman. Andaikan harga rumah naik 5% iaitu RM5000, pulangan encik ialah 50% (5000/10000 deposit tadi).

      2. Ada pulangan sewa dan amaun ini boleh jadi naik dalam jangkamasa panjang.

      Namun begitu, melabur dalam hartanah kena hati hati sekarang ni. Banyak tempat mengalami kejatuhan harga dan juga sewa. Kalau beli rumah mungkin tak akan nampak hasil dalam jangka pendek.

      ASB mungkin lebih selamat dalam situasi sekarang.