Anda nak jual rumah. Anda perlukan perlukan pembeli dengan segera sebab ada impian yang anda nak capai selepas jualan. Anda iklankan rumah tapi…senyap sendu. Tiada call dari pembeli. Kenapa dan apa nak buat? Dalam artikel ni saya akan kongsikan 10 cara supaya anda jual rumah cepat laku dan dapat pembeli segera.
1) Beri impresi pertama yang baik
Nak jual rumah cepat, impresi pertama mesti baik.
Kalau rumah bersepah atau ada banyak barang, kemas dan kosongkan ruang. Biar rumah nampak lapang.
Baik pulih apa-apa yang rosak. Pembeli biasanya takut nak beli rumah yang ada rosak, sekalipun kecil je kos nak baik pulih tu.
Terutama sekali pembeli muda. Mereka tak mahu pening nak repair. Kalau boleh rumah tu dah sedia untuk duduk.
Anda juga boleh cat rumah supaya nampak baru. Jika ada bajet, pasangkan lampur hiasan untuk cerahkan keadaan rumah.
Dalam pengalaman saya sebagai ejen hartanah, saya pernah jual rumah dalam masa dua tiga hari je.
Rumah tu bukanlah termurah atau ada ubahsuai. Namun impresi pertamanya baik, pembeli terus berminat.
Tapi bila anda buat semua ni, jangan pula naikkan harga rumah. Anda nak baik pulih nilai rumah tu ke nilai asal. Jika anda naikkan harga, susah juga nak laku.
2) Jangan bebankan pembeli. Semak harga pasaran untuk jual rumah cepat.
Bila pembeli nak beli rumah, mereka akan cari rumah yang tak lebih harga pasaran. Sebab apa?
Mereka nak pastikan mereka boleh dapat pinjaman yang cukup.
Contoh kata harga rumah RM100,000. Bank akan bagi pinjaman 90% dari harga tu, iaitu RM90,000. Baki RM10,000 mereka bayar tunai.
Apa jadi kalau anda jual lebih harga pasaran? RM120,000 misalnya?
Pembeli tadi kena sediakan tunai RM30,000 (RM120,000 harga rumah tolak RM90,000 pinjaman) untuk bayar anda. Ni belum lagi campur dengan kos guaman dan duti setem yang mereka kena sediakan.
Jaranglah pembeli sanggup untuk keluarkan wang sebanyak tu. Mereka akan cari tawaran yang lebih baik kat pasaran.
Rumah yang mana mereka anggap berbaloi, ikut harga pasaran dan tak perlu keluarkan wang yang banyak untuk mereka beli.
Oleh sebab itu lah anda mesti semak harga pasaran sebelum jual rumah.
Terutama dalam pasaran sekarang. Jual lebih harga pasaran confirm tak laku.
Macam mana nak semak harga pasaran ni?
Anda boleh guna khidmat semak harga pasaran percuma yang saya sediakan ni atau tanya kepada jurubank.
3) Persaingan adalah faktor utama rumah tak terjual. Semak pesaing anda.
Anda dah cuba jual rumah tapi tak laku? Besar kemungkinan kerana persaingan.
Walaupun rumah anda tu dah ikut atau di bawah harga pasaran, anda takkan boleh jual jika pesaing anda letak harga yang lebih rendah.
Pembeli yang datang beli di kawasan rumah anda bukan selalu. Mungkin sekali je dalam tiga bulan.
Terutama dalam pasaran sekarang yang agak perlahan dan pembeli tak ramai.
Bila ada pembeli, anda nak kena pastikan tawaran anda tu yang terbaik. Salah satunya dari sudut harga.
Kalau anda tak dapat tangkap pembeli tadi tu, anda kena tunggu tiga bulan lagi barulah pembeli seterusnya akan muncul.
Macam mana nak tahu harga yang anda letak tu kompetitif berbanding pesaing?
Anda buka portal iklan macam Mudah.my. Kemudian taip jenis rumah dan lokasi yang spesifik dengan rumah anda.
Contohnya kalau rumah anda adalah rumah teres di Seksyen 7 Shah Alam, taip “Teres Seksyen 7 Shah Alam”.
Anda akan dapati ada ratusan rumah. Sekarang teliti rumah-rumah yang cirinya lebih kurang sama dengan rumah anda. Berapa harga mereka letak?
Dan bandingkan dengan harga yang anda tawarkan. Kalau anda kat tempat pembeli, anda akan beli atau tak harga yang anda nak letak tu?
Bila anda buat assessment ni anda kena buang emosi.
Anda akan rasa “Tapi rumah saya tu ada kitchen cabinet”. Atau mungkin “Rumah saya tu baru sikit banding rumah lain yang lagi murah”.
Jawapan-jawapan macam ni akan gagalkan jualan. Anda mesti objektif dan betul-betul letak diri kat tempat pembeli.
Bila dah selesai, tengok juga kat lokasi yang berjiran dengan rumah anda. Kalau kat Seksyen 7 Shah Alam, lokasi yang berjiran mungkin Seksyen 8 dan Padang Jawa.
Dekat tempat-tempat tu ada ke tawaran yang lebih baik dari rumah anda?
Macam ni lah pembeli buat kajian. Mereka mula-mula akan tengok lokasi yang mereka nak beli.
Mereka juga akan kaji kawasan setempat yang berdekatan. Kalau ada deal yang baik, mereka akan pilih rumah tersebut.
4) Bukan semua medium iklan ada trafik. Guna portal iklan yang betul.
Medium iklan juga memainkan peranan. Kalau nak jual rumah cepat, anda kena pastikan rumah anda tu ada pendedahan atau exposure kepada trafik yang betul.
Ada setengah penjual, dia iklankan di profail Facebook. Friend kita pula ada seratus dua je. Macam tu susahlah.
Pendedahan dah ada. Tapi tak ada kuantiti dan juga kualiti. Krik-krik jawabnya.
Saya pernah buat kajian sebelum ni. Saya beli satu apps untuk nilai trafik portal-portal hartanah di Malaysia.
Bila anda nak iklankan rumah anda, ada lima portal yang saya cadangkan:
- Mudah.my
- iProperty
- Propertyguru
- Propwall
- Propsocial
Lima portal ni mempunyai trafik yang baik. Yang lain tu agak suam-suam kuku. Kalau anda guna mungkin tak berapa menjadi.
Kalau anda guna media sosial, iklankan rumah anda dalam group yang spesifik. Contohnya kalau nak jual rumah dekat Shah Alam..
Mungkin group yang sesuai ialah Shah Alam Resident atau Shah Alam Resident Business.
Group macam ni lebih khusus kepada target pembeli anda. Anda tahu mereka ni tinggal kat kawasan tertentu. Target pembeli anda akan lebih relevan.
Nota: portal iProperty dan Propertyguru tu hanya untuk ejen sahaja.
5) Tiada siapa akan tengok iklan kalau tak kena cara. Perbaharui iklan anda.
Nak iklankan rumah ni pun ada cara dia. Anda tak boleh naikkan iklan, tinggal dan terus berharap ada pembeli yang hubungi. Cara tu tak kena
Katakan anda iklankan rumah anda guna Mudah.my.
Anda naikkan iklan. Tak sampai sejam dua selepas u, akan ada iklan orang lain yang masuk. Boleh jadi iklan pesaing anda sendiri.
Ini menyebabkan iklan anda jatuh ke bawah. Sehari dua lepas tu iklan anda dah tak ada dekat page pertama. Ini besar kesannya.
Pembeli jarang layari laman web laman kedua dan seterusnya. Mereka tak akan jumpa iklan anda lagi. Walaupun rumah anda tu ada tawaran paling best.
Oleh sebab itu lah iklan anda tu kena selalu perbaharui. Kena selalu berada dalam laman pertama dan antara yang teratas.
6) Guna gambar yang baik untuk jual rumah cepat
Seterusnya, pastikan gambar yang anda guna untuk iklan tu cantik dan menggambarkan keadaan rumah.
Nampak gambar tu macam remehkan?
Cuba anda tengok iklan ejen hartanah, terutama mereka yang dah lama dalam pasaran.
Gambar yang mereka guna untuk iklan tu memang cantik. Kerana ianya menjadi untuk tarik pembeli.
Saya sendiri akui perkara ni. Kalau iklan tu gambarnya gelap dan tak nampak keadaan rumah, tak ramailah yang akan hubungi. Kurang call dari pembeli, maka susahlah nak jual rumah.
Baca Juga: Fotografi Hartanah: Teknik Ambil Gambar Untuk Jual Rumah
Kalau rumah anda keadaannya baik, harga berpatutan dan anda iklankan dengan gambar yang menarik, saya yakin akan cepat terjual.
Jadi…
Sebelum ambil gambar, kemas rumah terlebih dahulu. Cat rumah kalau nampak dan luntur.
Kemudian buka semua lampu dan ambil gambar dari sudut bucu rumah. Edit gambar tu kalau kata nampak masih gelap.
7) Guna kata kunci yang betul.
Iklan anda juga mesti ada kata kunci yang betul. Kata kunci ni ialah cara pembeli jumpa iklan anda bila mereka buat carian.
Sebagai contoh. Katakan rumah anda tu teres dua tingkat di Puncak Alam.
Anda tahu tempat tu kawasan Melayu. Jadi kata kunci mana yang anda nak gunakan dekat headline dalam iklan anda:
- 2 Storey Terrace Puncak Alam; atau
- Teres 2 Tingkat Puncak Alam
Dah tentulah yang guna Bahasa Melayu lebih logik. Kalau guna Bahasa Inggeris, mungkin audiens yang taip guna kata kunci tu tak ramai.
Berbeza pula kalau rumah tu dekat Taman Tun Dr Ismail misalnya. Mungkin Bahasa Inggeris lebih sesuai.
Selain itu, letakkan juga kata kunci yang menarik dekat headline iklan. Jika rumah anda memang cantik atau murah, mungkin headline begini sesuai:
- Rumah Cantik. Teres Dua Tingkat Puncak Alam.
- Teres Dua Tingkat TERMURAH Puncak Alam.
Nota: apa yang saya kongsikan ni sesuai jika anda iklan menggunakan Mudah.my.
8) Terma belian yang menarik buat pembeli tergoda
Pembeli rumah ni tak sama. Mereka ada keperluan tersendiri.
Anda nak jual rumah cepat? Cuba fahami apa keperluan pembeli.
Yang jadi cabaran pembeli biasanya nak sediakan wang tunai untuk beli rumah.
Sebagai contoh, katakan rumah anda harganya RM500,000. Pembeli kena bayar deposit 10% dan juga kos guaman.
Secara total, pembeli mungkin kena sediakan sehingga RM70,000 untuk beli rumah anda.
Amaun ni sangat besar terutama untuk golongan muda.
Apa yang anda boleh buat ialah kurangkan halangan ni. Orang putih kata ‘reduce the barrier to entry’.
Caranya bagaimana?
Kurangkan jumlah deposit yang pembeli kena bayar. Dan benarkan mereka untuk keluarkan KWSP atau buat pinjaman 100%.
Dengan cara ni anda mungkin tak dapat deposit 10% ketika perjanjian jual beli ditandatangan. Sebaliknya anda terima wang tu pada penghujung proses jualan.
Tapi tak apa lah.
Janji rumah tu terjual. Itu yang paling penting. Bukan senang dapat pembeli sekarang.
Kalau anda nak buat cara ni, anda boleh juga terus masukkan dalam iklan. Sebut je terus, deposit adalah fleksibel. Tak semestinya 10%.
9) Fahami proses jual rumah dan rendahkan expectation anda
Ada juga penjual yang ada expectation terlalu tinggi. Mereka ingat bila iklan, dalam seminggu dua terus ada pembeli.
Kalau rezeki anda cepat, alhamdulillah.
Tapi selalunya nak dapat pembeli ni akan ambil masa. Sebulan dua mungkin. Enam bulan ke setahun tak mustahil.
Yang paling penting anda mesti konsisten dengan semua perkara yang saya sebut dalam artikel ni.
Kalau buat separuh masak, hasilnya juga separuh masak.
Bila dah ada pembeli pun, duit tak dapat terus. Anda kena lalu proses jualan yang boleh jadi lama.
Oleh sebab itu, lepas anda baca artikel ni, saya cadangkan anda ikuti artikel Panduan dan Cara Jual Rumah yang saya tulis ni.
10) Guna ejen hartanah
Jual rumah ni pada pendapat saya melibatkan impian. Seseorang tu jual rumah kerana nak beralih kepada perkara yang lebih baik.
Ada yang jual sebab nak beli rumah lain. Ada yang nak tuai hasil pelaburan atau nak mulakan hidup baru.
Dan yang paling kritikal sekali, ada yang nak lepaskan diri dari beban hutang.
Impian tu besar. Tapi jual rumah ni juga bukan perkara kecil. Ianya mencabar.
Dalam artikel ni saya dah cerita banyak tips yang anda perlu buat. Saya betul berharap ianya membantu.
Tapi ada lagi sudut yang saya tak mampu ceritakan kat sini.
Kalau anda tiada masa dan kemahiran untuk buat semua ni, alternatifnya anda boleh lantik ejen hartanah untuk jual rumah cepat.
Memanglah ada kos bila kita lantik ejen ni. Dan kos tu agak besar.
Tapi ianya berbaloi. Anda dah serahkan banyak tugas kepada mereka dan dapat seorang yang boleh berikan khidmat nasihat supaya rumah terjual.
Yang paling penting sekali bagi saya bukanlah kos tu. Tapi supaya hajat anda selepas jualan tu tercapai. InsyaAllah.