Nak jual rumah cepat, ambil gambar cantik-cantik dan iklankan. Fotografi hartanah ni tak susah pun tapi teknik kena betul.
Dalam artikel kali ni saya akan terangkan langkahnya. Ejen hartanah pun boleh ikuti.
Kenapa Rumah Cepat Terjual Dengan Gambar Rumah Yang Baik?
1) Pembeli Dapat Gambaran Nilai Rumah
Gambar rumah yang baik akan memudahkan jualan kerana pembeli mendapat gambaran sebenar nilai rumah tersebut.
Kadang-kadang rumah dah cantik tapi iklan tak berkesan kerana teknik fotografi yang salah.
Pembeli tak dapat gambaran sebenar.
Ini menyebabkan mereka tak berminat nak tengok rumah dan rumah lambat terjual.
2) Iklan Mudah Dikongsi
Iklan rumah anda mungkin dilihat oleh mereka yang tak berniat nak beli rumah.
Tapi dengan gambar yang baik, iklan tersebut mungkin dikongsi dengan kenalan mereka yang mungkin bersedia untuk belian.
Capaian iklan akan lebih tinggi terutamanya di media sosial sekaligus menjimatkan tenaga dan kos.
Jadi bagaimana cara nak ambil gambar yang cantik ni?
Cara Nak Dapatkan Gambar Yang Jelas Dan Tajam
Untuk ambil gambar rumah yang baik, pertamanya anda kena tahu bagaimana kamera berfungsi.
Semasa gambar diambil dan butang shutter ditekan, subjek yang diambil tu akan bergerak ke dalam sensor kamera melalui cahaya.
Gambar kemudian terhasil setelah shutter tertutup.
1) Dalam Keadaan Cerah
Dalam keadaan persekitaran yang cerah:
- Cahaya cepat terkumpul dalam sensor kamera.
- Sensor menghasilkan gambar dengan lebih cepat.
- Gambar yang jelas akan terhasil.
2) Dalam Keadaan Kurang Cahaya
Berbeza dalam keadaan gelap atau kurang cerah:
- Cahaya persekitaran kurang dan lambat terkumpul dalam sensor.
- Ini menyebabkan gambar lambat terhasil.
- Semasa proses pengumpulan cahaya apa-apa pergerakan sebelum shutter tertutup akan menyebabkan gambar kabur.
Selalunya pergerakan tu datang dari kita sendiri. Cara kita kawal kamera tu menyebabkan pergerakan atau getaran.
Inilah sebab utama mengapa gambar yang kita ambil tu tak konsisten. Kadang-kadang tajam, kadang-kadang kabur.
Jadi bagaimana cara nak pastikan gambar yang kita ambil tu konsisten dalam semua keadaan?
Cara Pegang Kamera
Nak dapatkan gambar yang baik walaupun dalam keadaan gelap, cara kita pegang dan kawal kamera tu mesti betul.

Ini untuk pastikan tiada pergerakan semasa gambar diambil.
- Pegang kamera dengan siku rapat ke tepi dada.
- Rapatkan kamera ke muka.
- Tekan butang shutter tu perlahan-lahan untuk elakkan sebarang pergerakan semasa kamera mengumpulkan cahaya.
Anda akan dapati posisi ini menstabilkan kamera tersebut.
Kalau anda buat tiga step ni, hasilnya adalah gambar yang jelas dan tajam.
Tapi gambar yang tajam sahaja tak cukup. Cara komposisi gambar juga penting. Mari ikuti.
Tips Komposisi Gambar Rumah
1) Kemas Rumah

Kemas rumah sebelum ambil gambar. Teknik maut fotografi sekalipun tak guna kalau rumah bersepah.
Susun ruang tamu dan bilik utama supaya berkeadaan lapang. Alihkan barang yang menghalang laluan.
Semua barang yang boleh disimpan, diletakkan dalam tempat sepatutnya. Lipat baju dan kemas dalam almari.
Nampak simple, tapi kadang-kadang inilah penentu keputusan pembeli untuk datang ke rumah atau tidak.
2) Elak Perkara Yang Mengganggu Fokus
Gambar hendaklah mempamerkan keadaan rumah dan itu sahaja.
Alihkan barang-barang yang boleh mengganggu fokus dalam gambar.
Contohnya kain buruk di dapur, plastik sampah yang tidak dimasukkan dalam tong sampah.
Atau boleh jadi juga ahli keluarga yang masuk sekali dalam gambar tersebut.
Semasa ambil gambar di sudut yang ada cermin, elakkan refleksi diri anda berada dalam cermin tersebut.
3) Ambil Gambar Dari Sudut Bucu

Apa yang anda nak ceritakan tentang rumah tu dalam gambar? Ini persoalan utama.
Jawapannya sudah pastilah keadaan rumah dan ciri rumah tersebut.
Jangan pula nak jual rumah tapi fokus gambar kepada kipas atau perabot. Itu tak membantu.
Dalam banyak keadaan, ambil gambar dari sudut bucu.
Gambar dari bucu akan mempamerkan keadaan sebenar rumah. Keadaan juga nampak lapang.
4) Elak Guna Flash
Mungkin ada fotografer akan tak bersetuju dengan saya untuk poin ni.
Tapi jarak flash untuk kebanyakan kamera terutama kamera telefon adalah pendek.
Ini akan menyebabkan ruang yang diambil separuh cerah dan separuh lagi gelap.
Cahaya dari flash juga agak kasar dan menyebabkan warna tidak semulajadi.
Sebaliknya gunakan cahaya semula jadi terlebih dahulu. Jika keadaan masih gelap, buka lampu rumah.
5) Ambil Gambar Dengan Simetri Tegak
Tengok sisi gambar anda. Pastikan gambar tersebut berkeadaan tegak.
Hasil gambar tersebut akan nampak lebih professional dan cantik.
Namun untuk ruangan yang sempit, condongkan kamera ke bawah untuk menampakkan lebih banyak ruang.
6) Elak Ambil Gambar Berlawan Cahaya Matahari
Cuba anda buka tingkap waktu tengah hari dan ambil gambar tingkap tersebut.
Hasilnya gambar akan menjadi gelap. Ini kerana kamera tu bertentangan dengan punca cahaya yang datang.
Jadi bila ambil gambar, jangan lawan punca cahaya. Sebaliknya ikut cahaya tersebut.
Kalau anda terpaksa juga ambil sudut gambar berlawan punca cahaya, masa ni la baru pakai flash.
Flash akan melawan punca cahaya tersebut dan menghasilkan gambar yang terang.
7) Gambar Bilik Air
Tak perlu ambil atau iklan. Melainkan bilik air tu betul-betul special dengan ubahsuai.
Kalau perlu juga, kemas bilik air tersebut dan tutup ruangan mangkuk tandas.
8) Ambil Gambar Kejiranan
Bila ambil gambar luar rumah, pamerkan juga keadaan sekitar dan kejiranan.
9) Lampu Hiasan

Kalau rumah anda mempunyai lampu hiasan, buka lampu-lampu tersebut.
Ini akan menaikkan seri rumah dan menghasilkan gambar yang cantik.
Ok, gambar dah ambil. Apa seterusnya?
Edit Gambar Rumah
Kadang-kadang kita ambil gambar tapi hasilnya tak seperti yang kita lihat kerana limitasi kamera dan lensa.
Oleh itu, saya sarankan anda edit gambar tersebut.
Ada banyak aplikasi yang boleh bantu seperti Adobe Lightroom dan Cyberlink PhotoDirector untuk peranti android.
Biasanya anda akan ubah setting untuk kecerahan dan juga contrast.
Anda dah ambil gambar tapi hasil tak cantik dan tak dapat tarik pembeli. Ada cara lain tak?
3 Kelengkapan Profesional Untuk Fotografi Hartanah
Kelengkapan di bawah ni saya guna dalam kerjaya saya sebagai perunding hartanah.
Gunakan kalau ada. Tapi kalau tiada, tak perlulah beli semata-mata nak jual satu rumah.
1) Tripod
Tripod akan membantu untuk menghalang apa-apa pergerakan semasa mengambil gambar. Ianya akan menghasilkan gambar yang jelas dan tajam.
2) Kamera DSLR
Kamera DSLR mempunyai sensor yang lebih besar berbanding kamera biasa dan cepat mengumpul cahaya. DSLR juga memberi opsyen kawalan kepada pengguna untuk lebih kreatif.
3) Lensa Ultrawide
Lensa kamera ultrawide akan menghasilkan gambar yang tampak lebih luas. Ini berbeza dengan lensa kamera telefon yang sempit.
Penutup
Nak ambil gambar untuk jual rumah ni tak susah. Dengan teknik fotografi hartanah yang saya kongsikan ni, saya harap anda berjaya jual rumah dengan cepat.
Sebelum saya akhiri, berikut artikel yang boleh membantu anda: