Untuk menjual rumah, satu perkara yang mungkin rumit ialah menentukan harga pasaran dan harga jualan. Kali ini saya akan kongsikan bagaimana cara untuk semak harga pasaran rumah dan menetapkan harga jualan dengan baik.
Kenapa Perlu Semak Harga Pasaran Rumah?
Ada beberapa sebab kenapa anda perlu semak harga pasaran rumah:
Untuk Memastikan Harga Jualan yang Kompetitif

Bila anda jual rumah, rumah tu bersaing dengan ratusan rumah lain dalam pasaran.
Jual rumah ni juga tidak mudah kerana nilainya tinggi dan pembeli mempunyai banyak pilihan.
Salah satu cara jual rumah dengan cepat adalah dengan menyemak harga pasaran rumah tersebut sebelum jualan.
Dengan semakan dapat menjadikan rumah anda lebih berdaya saing dan berada dalam kadar harga yang mempunyai permintaan.
Untuk Memudahkan Pembeli Mendapat Pinjaman

Selain itu juga, rumah yang dijual mengikut harga pasaran membantu pembeli untuk mendapatkan pinjaman dan tunai yang mencukupi untuk membeli rumah.
Sebagai contoh, jika harga pasaran yang anda ingin jual ialah RM100,000. Pembeli akan membayar deposit RM10,000 (10%) untuk meneruskan belian.
Namun jika anda menetapkan harga RM120,000 iaitu RM20,000 lebih dari harga pasaran, lebihan tersebut terpaksa dibayar tunai oleh pembeli.
Sudahlah perlu bayar deposit, perlu tambah pula menjadikan total RM30,000 yang perlu disediakan. Ini menyukarkan pembeli dan boleh menyebabkan jualan terbatal.
Untuk Mengukur Net Worth

Selain itu mengetahui harga pasaran juga membantu anda untuk mengukur nilai semasa hartanah tersebut.
Daripada itu, kedudukan pelaburan anda dapat dinilai untuk buat keputusan seterusnya.
Apa Cara Paling Mudah Dan Percuma Untuk Semak?

Cara yang paling mudah untuk semak market value ni adalah melalui perunding hartanah berdaftar.
Perunding hartanah ni akan gunakan data transaksi, jaringan dan pengalaman mereka untuk menganggar harga pasaran.
Untuk menyemak dengan ejen hartanah perlukan butiran berikut:
- Alamat penuh rumah
- Jenis rumah
- Keluasan rumah
- Butiran ubahsuai, jika ada
- Harga jualan
Khidmat Percuma
Saya juga ada tawarkan khidmat untuk semak harga pasaran rumah ni dengan percuma. Jika anda berminat boleh tekan butang di bawah.
Cara Alternatif Untuk Buat Semakan

Sebagai alternatif anda juga boleh bertanyakan kepada jurubank yang mengurus pinjaman perumahan.
Jurubank ni mempunyai akses kepada penilai hartanah dan boleh memberikan maklumat kepada anda.
Namun begitu, ada kemungkinan anda sukar mendapatkan komitmen dari mereka.
Usaha dan tenaga mereka tu bernilai. Nak tanya saja-saja tak boleh lah melainkan anda ingin mendapatkan pinjaman perumahan dari mereka.
Adakah Semakan Oleh Ejen Hartanah Atau Jurubank Tepat?

Ejen hartanah / Jurubank hanya boleh memberikan nilaian indikatif tentang harga pasaran sesuatu rumah.
Untuk nilaian yang tepat terutamanya untuk rumah yang ada ubahsuai menyeluruh, saya sarankan anda gunakan khidmat penilai professional.
Penilai professional ni akan datang ke rumah untuk buat nilaian. Di akhir tugas mereka tu, mereka akan keluarkan valuation report.
Khidmat penilai profesional ni melibatkan fi profesional.
Cara ni adalah yang paling baik. Nilaian indikatif yang diberikan ejen hartanah / jurubank tidak akan dapat menggantikan khidmat penilai profesional.
Ada Tak Cara Nak Semak Sendiri?

Anda boleh gunakan laman Brickz.my untuk buat semakan. Data di website ini melaporkan transaksi jual beli hartanah daripada Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
Langkah-langkah yang perlu dibuat untuk membuat anggaran:
- Layari Brickz.my
- Cari lokasi rumah yang diingi
- Dapatkan sekurang-sekurangnya dua transaksi yang harganya lebih kurang sama untuk jadikan sebagai anggaran.
Untuk no 3 tu macam ni. Contoh kata anda ingin mendapatkan transaksi untuk Pangsapuri A. Setelah disemak ada beberapa transaksi sepanjang setahun lepas.
Katakan transaksi pertama RM100,000, transaksi kedua RM110,000 dan transaksi ketiga RM120,000. Anggaran untuk harga rumah ini boleh dikatakan RM110,000 kerana ada dua transaksi yang menyokong (RM110k dan RM120k).
RM120,000 tu pula tak boleh dianggarkan sebagai harga pasaran kerana hanya ada satu transaksi.
Namun perlu diingat teknik ini hanyalah rule of thumb sahaja.
Kalau anda gunakan Brickz.my, ada beberapa kelemahan yang perlu diketahui.
- Akaun percuma Brickz.my hanya memaparkan data yang terhad. Mungkin data yang ada tidak cukup untuk menggambarkan situasi sebenar transaksi di suatu kawasan. Semasa penulisan akaun berbayar Brickz.my adalah RM450 setahun.
- Transaksi di Brickz.my tidak menyatakan sama ada rumah sudah diubah suai atau tidak. Jika contohnya anda tersilap buat anggaran dengan mengambil data rumah yang sudah diubahsuai, anggaran anda tu mungkin tidak tepat.
- Transaksi di Brickz.my termasuk harga belian yang di mark-up oleh pembeli (mark-up price). Ini sangat berleluasa. Kadang-kadang anggaran tersasar jauh daripada permintaan di pasaran.
- Dan yang paling penting sekali, transaksi di Brickz.my tidak menggambarkan berapa harga yang sanggup dibayar oleh pembeli di pasaran untuk membeli rumah anda.
Cara Nak Tetapkan Harga Rumah
Saya sebelum ni dah pernah sentuh tentang cara nak tetapkan harga rumah dalam artikel Panduan Dan Cara Jual Rumah Di Malaysia.
Dalam artikel ni pula saya nak tekankan tentang harga pasaran dan persaingan.
Sepanjang kareer saya sebagai ejen hartanah saya sampai kepada kesimpulan bahawa:
Untuk jualan rumah, berapa harga yang pesaing anda tawarkan lebih penting daripada harga pasaran.
Fakta ini menentukan sama ada rumah atau terjual atau tidak. Noktah.
Dalam banyak keadaan terutama ketika kelembapan ekonomi, harga yang pesaing anda tawarkan tu selalunya di bawah harga pasaran sebenar.
Contoh kata dalam senario anda memiliki sebuah pangsapuri dengan harga pasaran RM400,000.
Tetapi jika pesaing anda jual unit yang sama pada harga RM350,000, harga yang boleh terjual ialah RM350,000.
Kalau ditetapkan harga pada RM400,000 sudah pasti rumah tersebut lambat ataupun langsung tidak terjual kerana kalah dalam persaingan.
Inilah sebab utama kenapa kadang-kadang pemilik rumah yang menjual rumah mereka tanpa ejen hartanah tidak berjaya menjual rumah mereka.
Pembeli dalam era teknologi ni mempunyai banyak pilihan. Sudah pasti mereka akan pilih rumah yang memberikan lebih nilai tambah.
Pendek kata, harga jual yang anda letak tu begini formulanya:
Harga Jual = Harga pasaran ATAU harga pesaing, yang mana lebih rendah.
Langkah Untuk Menetapkan Harga Jualan
Berikut saya rumuskan langkah yang anda perlu ambil untuk tetapkan harga jualan:
- Semak harga transaksi rumah di Brickz.my. Lihat 2 transaksi pada harga yang lebih kurang sama dan buat anggaran harga pasaran.
- Buka medium pemasaran seperti Mudah.my. Lihat berapa yang pesaing anda tawarkan. Unit dengan harga yang paling rendah adalah pesaing utama anda.
- Bandingkan harga pasaran dan harga pesaing. Pilih yang lebih rendah.
Untuk poin kedua 2 kena berhati-hati juga. Kadang-kadang ada senarai rumah di medium pemasaran seperti Mudah.my tu adalah fake listing.
Fake listing ni biasanya diiklankan pada harga yang rendah, tetapi sebenarnya tiada rumah pun yang nak dijual. Iklan tersebut hanya untuk mendapatkan pembeli dan kemudian disesuaikan dengan rumah lain.

Jangan tersilap guna fake listing ni untuk menetapkan harga jualan. Nanti terlalu rendah pula harga yang ditetapkan.
Ciri-ciri fake listing ni adalah seperti berikut:
- Harga rendah tak masuk akal
- Deskripsi iklan yang minimum
- Tiada gambar dalam rumah
Kesimpulan
Mudah-mudahan artikel ini sedikit sebanyak dapat membantu anda dalam urusan jual beli rumah. Sebelum saya akhiri, berikut artikel yang boleh membantu anda:
tuan
perlukah jurunilai berdaftar (registered valuer) mengambil gambar di dalam rumah dan bilik utk tujuan penilaian sekiranya pemohon hanya ingin membuat refinance bukan untuk menjual rumah?
Ya, penilai perlu ambil gambar rumah untuk tujuan laporan penilaian bank.