Cara Buat Pengiraan Kos Dan Keuntungan Jual Rumah

Bila nak buat keputusan untuk jual rumah, kita mesti nak tahu berapa duit yang kita akan dapat. Barulah kita dapat nilai sama ada hasil jual rumah tu boleh guna untuk perancangan kita seterusnya. Dalam artikel ni saya nak kongsikan tentang cara buat pengiraan kos dan keuntungan jual rumah.

Muat Turun Kiraan Microsoft Excel

Sebelum saya mula artikel ini, saya juga ada sediakan template kiraan melalui Microsoft Excel. Anda boleh gunakan template ini untuk buat kiraan dengan lebih mudah. Tekan butang di bawah untuk muat turun.

Formula Pengiraan Keuntungan Jual Rumah

Nak kira untung jual rumah ni senang je. Formulanya ialah:

Hasil Jualan Rumah = Harga Jualan – Baki Pinjaman – Kos Jual Rumah.

Kos jual rumah termasuklah:

  • Kos guaman
  • Cukai jual rumah (RPGT)
  • Penalti lock in period
  • Fi ejen
  • Kos-kos lain

Tentukan Harga Jualan Rumah

Mula-mula sekali tentukan harga rumah. Harga ni mesti realistik dan dapat tarikh pembeli.

Untuk capai tujuan ni, semak harga pasaran rumah anda. Harga rumah yang tak melebihi harga pasaran akan bantu pembeli untuk dapat pinjaman secukupnya.

Kemudian semak juga harga yang pesaing anda letak. Anda boleh buka portal hartanah macam Mudah.my untuk buat perbandingan.

Kenapa kena semak harga pesaing?

Walaupun harga pasaran tu tinggi, rumah tu tak akan boleh jual kalau jiran anda misalnya letak harga yang rendah atau bawah harga pasaran.

Dalam market yang agak lembap macam sekarang, pembeli tak ramai.

Kita bukan berlumba untuk letak harga yang paling tinggi. Tapi berlumba untuk dapat pembeli.

Siapa yang bagi tawaran terbaik, merekalah yang berjaya jual rumah.

Tentukan Baki Pinjaman

Untuk tahu berapa baki pinjaman, anda boleh terus telefon bank anda.

Masa bercakap dengan mereka anda kena beritahu mereka yang berapa jumlah yang anda kena bayar kalau buat bayaran penuh untuk selesaikan hutang.

Kalau tak sebut macam tu, kemungkinan amaun yang bank berikan tu tak betul dan dah termasuk kadar faedah di masa hadapan.

Buat Pengiraan Kos Jual Rumah

1) Tentukan kos guaman jual rumah

Seterusnya anda kena tahu berapa kos guaman.

Bila jual rumah, penjual ni ada pilihan sama ada untuk lantik peguam atau pilih untuk tak diwakili.

Lantik peguam sendiri ada kos yang agak tinggi. Kos guaman ni bergantung kepada harga rumah yang anda jual.

Untuk kira berapa kos guaman ni, rujuk ke laman web kalkulator kos guaman jual rumah.

Pada bahagian ‘Sales and Purchase Agreement’ tu masukkan harga rumah. Anda akan dapat fi profesional yang peguam akan kenakan.

Kemudian tambahkan sekitar RM2500 daripada amaun yang anda dapat untuk dapat jumlah keseluruhan.

Kenapa kena tambah RM2500?

Sebab yang anda kira tu tak termasuk kos pengurusan (disbursement) peguam. Kos ni kalau ikut pengalaman saya sekitar RM2500.

Macam yang anda lihat, kos guaman ni agak tinggi. Tapi anda boleh pilih untuk tak diwakili peguam.

Bila tak diwakili, peguam pembeli akan bantu anda untuk buat pembatalan gadaian, pemfailan cukai dan pindah milik.

Kerja-kerja ni masih ada kos. Saya jangka jumlahnya sekitar RM2000-2500.

2) Cukai jual rumah

LHDN akan kenakan cukai atas keuntungan jual rumah. Cukai jual rumah ni kita panggil Cukai Keuntungan Harta Tanah.

Macam mana nak kira untung jual rumah ni?

cukai jual rumah

Anda ambil harga jual dan tolak harga beli.

Kemudian tolak juga kos-kos yang dibenarkan. Ini termasuklah kos:

  • Guaman semasa beli dan jual rumah
  • Ubahsuai rumah
  • Fi ejen hartanah

Nota: anda boleh rujuk Akta Cukai Harta Tanah untuk tahu lebih lanjut tentang kos-kos yang dibenarkan. Sila rujuk ke laman web Peguam Negara.

Selepas itu tolak RM10,000 atau 10% dari keuntungan sebelum pengecualian. Kalau anda guna template yang saya sediakan, amaun ini akan dikira secara automatik

Amaun yang anda akan dapat ialah keuntungan yang akan dikenakan cukai. Amaun inilah yang anda perlu darab dengan kadar cukai hartanah.

Kadar cukai ini bergantung kepada tahun ke berapa kita jual rumah tu dari tempoh pemilikan:

  • Tahun pertama hingga ketiga: 30%
  • Tahun keempat: 20%
  • Tahun kelima: 15%
  • Tahun keenam dan seterusnya: 5%

Katakan anda beli rumah pada Disember 2017 dan jual pada tahun Januari 2019, anda dikira jual pada tahun kedua. Cukai yang dikenakan atas keuntungan ialah 30%.

3) Penalti lock in period

Kalau rumah yang anda nak jual tu baru beli atau baru je refinance, semak surat tawaran (letter of offer) pinjaman anda.

Surat tawaran tu boleh jadi ada terma penalti kalau jual dalam suatu tempoh. Tempoh ni biasanya tiga ke lima tahun.

Sebagai contoh. Katakan dalam surat tawaran, bank kenakan penalti sebanyak 3% dari pinjaman pokok RM300,000 untuk jualan dalam 5 tahun selepas dapat pinjaman. Anda jual pada tahun kedua.

Jumlah yang anda kena bayar ialah RM9,000 (3% x 300,000).

4) Komisen ejen hartanah

Jika anda jual rumah melalui ejen hartanah, komisen ejen hartanah biasanya adalah sebanyak 3.18% dari harga jual termasuk Service Tax (SST).

Contohnya kalau anda jual rumah RM100,000, fi agensi adalah sebanyak RM3180.

5) Kos-kos lain

Bila jual rumah anda juga perlu bayar tunggakan bil jika anda. Ini termasuklah:

  • Bil utliti
  • Cukai pintu
  • Cukai tanah
  • Maintenance fee
  • Kos guaman untuk penyempurnaan geran (perfection), jika ada

Ambil kira semua kos ini dalam kiraan anda.

Jumlahkan Hasil Dan Kos

Akhir sekali, jumlahkan semua hasil jualan dan kos yang terlibat.

pengiraan keuntungan jual rumah

Anda akan dapat amaun yang anda akan terima hasil dari jualan rumah.

Nota: saya tulis artikel ni untuk mereka yang nak tahu berapa hasil tunai jualan rumah. Cara ni tak ikut konsep perakaunan sebenar kerana tak faktorkan faedah pinjaman yang telah dibayar dan juga kos-kos lain. Kalau ada akauntan yang baca, mohon tumpang lalu.

Penutup

Sekian sahaja artikel ‘Cara Buat Pengiraan Kos Dan Keuntungan Jual Rumah’. Semoga artikel ini bermanfaat. Jika anda nak dapatkan lebih tips jual rumah, boleh ikuti link di bawah:

Leave a Comment

2 thoughts on “Cara Buat Pengiraan Kos Dan Keuntungan Jual Rumah”

  1. Blh tumpang tanya..masa saya beli rmh tahun 2020..sy beli 295k..op rumah belum kluar lagi..skrang sy ada masalah kewangan.
    Hutang bank 205k..
    Saya jual 350k..agak agak brpa sy blh dapat dlm tangan..
    Blh tolong sy kira encik..

    Reply