Proses Jual Beli Rumah Secara Tunai. Macam Mana Tu?

Anda nak jual atau beli rumah cash? Alhamdulillah rezeki tu. Tak ramai penjual yang dapat pembeli cash. Begitu juga tak ramai yang mampu beli rumah tunai. Apa pun, prosedur jual beli rumah tu kena betul. Dalam artikel ni saya nak kongsikan tentang proses jual beli rumah secara tunai.

Macam Mana Cara Dan Proses Jual Beli Rumah Secara Tunai

1) Tandatangan surat setuju jual beli

Bila pembeli dah minat dengan rumah…

Saya cadangkan pembeli dan penjual tandatangan surat persetujuan jual beli. Kalau jual beli dengan ejen hartanah kita panggil ni sebagai offer to purchase.

Kenapa kena ada surat tawaran jual beli ni? Sebabnya nak minta peguam siapkan perjanjian jual beli tu mungkin ambil masa seminggu atau dua minggu.

Jadi dalam tempoh seminggu dua tu, kita nak pastikan hak pembeli dan penjual terjaga.

Penjual mestilah tak mahu pembeli tiba-tiba batalkan belian.

Pembeli pun begitu juga. Mesti mereka nak penjual tu serius nak jual rumah.

Kalau jadi dua perkara tu, pembeli dan penjual mungkin kena penalti berdasarkan terma yang dah dipersetujui.

Kemudian, pembeli bayar wang tanda jadi kepada peguam atau ejen hartanah.

Elakkan bayar terus kepada penjual. Elakkan juga bayar penuh harga beli kepada mereka.

Kadang-kadang pembeli mungkin rasa excited nak dapat rumah. Cash pula ada kat tangan. Terus bayar tunai dekat penjual.

Sedangkan…

Jual beli tu belum muktamad. Kita belum tahu apa status hartanah tersebut. Boleh pindah milik ke tidak.

2) Lantik peguam untuk buat perjanjian jual beli

Pembeli kemudian akan dapatkan khidmat peguam untuk buat perjanjian jual beli.

Selain perjanjian, peguam juga akan cek status hartanah tersebut melalui carian rasmi pejabat tanah.

Mereka juga akan buat carian kebankrapan, untuk pastikan pindah milik tu boleh dibuat.

Dua perkara ni kritikal untuk pastikan rumah tu tiada masalah untuk buat pindah milik

Sebab tu lah sekalipun anda jual beli rumah secara tunai, saya sangat sarankan anda dapatkan khidmat peguam walaupun mungkin proses tu anda boleh buat sendiri.

Sebagai pembeli, dapatkan juga nasihatkan peguam macam mana nak buat bayaran harga rumah.

Biasanya setelah perjanjian jual beli ditandatangani, peguam akan minta deposit 10% dijelaskan pada waktu ini.

Pembeli tak wajib jelaskan amaun penuh harga belian.

Kalau peguam minta bayaran penuh, pastikan amaun tersebut tidak dibayar kepada penjual sehinggalah pindah milik dah dibuat kepada pembeli.

3) Peguam buat pindah milik

Peguam kemudian akan buat proses pindah milik. Kalau penjual masih ada hutang dengan bank, peguam akan minta wang dari pembeli untuk jelaskan hutang tersebut.

Dah selesai bayaran, barulah bank penjual keluarkan geran asal dan serahkan kepada peguam.

Sebelum peguam daftarkan geran tersebut kepada nama pembeli, peguam akan minta baki bayaran harga belian daripada pembeli untuk didepositkan dalam akaun amanah.

Masa ni duit tu ada dengan peguam lagi.

Ye lah, nak tukar nama ni mestilah peguam kena pastikan duit tu ada dulu.

4) Peguam bayar keuntungan penjual

Bila dah tukar nama, peguam akan minta penjual untuk buat serahan kunci kepada pembeli.

Kalau tiada masalah, barulah peguam akan bayar baki harga rumah kepada penjual.

Peranan Peguam Penting Dalam Jual Beli Rumah Tunai

Ada setengah orang kata jual beli cash ni senang je. Buat sendiri pun boleh kalau penjual memang dah tiada hutang dan geran dah ada dengan mereka.

Tapi macam-macam boleh berlaku.

  • Penjual buat pindah milik tapi pembeli tak bayar wang tunai. Rumah tergadai. Duit tak dapat.
  • Atau sebagai pembeli pula, anda bayar duit kepada penjual tapi rumah ada kaveat. Atau penjual bankrap. Tak boleh buat pindah milik.

Dua situasi ni nampak remeh. Tapi kalau berlaku, menangis tak berlagu.

Kalau proses tu melibatkan bank pula, ianya bertambah rumit. Semakin banyak faktor yang boleh menyebabkan jual beli rumah secara tunai tu bermasalah.

Sebab tu lah peranan peguam tu penting.

Baca juga: Tips Lantik Peguam Hartanah Untuk Jual Beli Rumah

Peguam akan bertindak sebagai orang tengah. Mereka akan pastikan duit pembeli tu dibayar dengan cara dan pada waktu yang sepatutnya.

Mereka juga akan pastikan rumah tu bebas dari perkara-perkara yang boleh menghalang pindah milik untuk penjual.

Nota: saya tak nafikan ada sesetengah orang yang beli rumah secara tunai ni mereka buat terus kat pejabat tanah. Pembeli bawa tunai, penjual bawa geran. Bila pindahmilik dibuat, pembeli bayar tunai tu terus di pejabat tanah. Ini terpulang kepada pembeli dan penjual. Kalau anda selesa, teruskan.

Berapa Lama Proses Jual Beli Rumah Cash Ni

Ramai orang ingat jual beli rumah ni boleh selesai seminggu dua. Tak betul tu.

Proses ni hanya cepat kalau kalau rumah tu penjual dah habis bayar dan geran dah ada kat tangan. Peguam terus boleh buat pindah milik kalau tiada sekatan.

Kalau ada sekatan, peguam kena pastikan syarat tu dipenuhi dulu. Contoh sekatan ialah rumah leasehold yang perlu dapat kebenaran pindah milik dari kerajaan negeri.

Proses juga akan ambil sedikit masa jika penjual masih ada hutang dengan bank.

Nak tahu berapa lama jangkamasa ni, anda boleh rujuk dekat artikel Tempoh Dapat Duit Jual Rumah.

Daripada jangkamasa dalam posting tu, tolak dua bulan.

Katakan pindahmilik hartanah leasehold ialah 6 bulan, jangkamasa untuk jual beli secara cash ialah 4 bulan (6 bulan tolak 2 bulan)

Tapi ingat, yang saya bagitahu ni anggaran je la. Boleh jadi cepat dan boleh jadi lama sikit bergantung kepada kes jualan anda. Dapatkan nasihat dari peguam untuk lebih butiran.

Penutup

Sekian sahaja dari saya. Semoga artikel ini membantu. Berikut artikel lain yang boleh membantu anda:

Leave a Comment

15 thoughts on “Proses Jual Beli Rumah Secara Tunai. Macam Mana Tu?”

  1. Aslmkm tuan nk tny sy ad beli rumah cash below 100k Dan ingin menjualnya cm tempoh belian sy baru setahun ats sbb2 tertentu.berapa penalty yg d kenakan ke ats sy jika sy jual rumah nie..

    Reply
    • Salam. Puan kena bayar cukai 30% atas keuntungan. Tapi cukai ni puan boleh kecualikan kalau tak pernah guna pengecualian sekali seumur hidup.