Jual Rumah Sebelum 5 Tahun: Apa Akibatnya?

Ada pembaca blog ini tanya kepada saya. Boleh ke jual rumah sebelum 5 tahun? Kalau boleh, adakah saya kena penalti? Adakah elok jual rumah yang baru beli?

1) Jual rumah sebelum 5 tahun: apa yang anda perlu tahu?

Sebelum pergi lebih jauh, saya bagi jawapan ringkas dulu:

Ya. Anda boleh jual sekalipun rumah tak cukup 5 tahun. Kecuali rumah anda ada sekatan tertentu macam rumah kos rendah. Anda juga kena bayar cukai yang agak tinggi dan mungkin ada penalti dari bank. Baki pinjaman anda juga tak banyak kurang.

Sebelum anda buat apa-apa konklusi, baca dulu artikel ni sampai habis. Perkara-perkara saya sebut tu mungkin tak relevan dengan rumah yang anda nak jual.

2) Cukai jual rumah RPGT mungkin tinggi

Cukai jual rumah RPGT, kerajaan kenakan atas untung yang anda dapat. Kadar cukai ni berbeza mengikut berapa lama anda dah miliki rumah tu:

  • Tahun pertama hingga tahun ketiga: 30%
  • Tahun keempat: 20%
  • Tahun kelima: 15%
  • Tahun keenam dan seterusnya: 5%

Katakan anda beli rumah dengan harga RM150,000 dan tahun ketiga anda jual rumah tu dengan harga RM250,000.

Untung anda ialah RM100,000 (RM250k – RM150k) dan kadar RPGT ialah 30%. RPGT yang anda kena bayar ialah sekitar RM30,000.

Nota: kiraan RPGT ni ada format tersendiri. Secara tepat, dalam kes ni anda kena bayar maksimum RM27,000. Tapi untuk ilustrasi, saya guna kiraan mudah. Dapatkan khidmat peguam atau ejen cukai yang sah untuk kiraan.

Macam yang anda lihat, RPGT ni boleh jadi satu amaun yang besar kalau jual rumah sebelum 5 tahun.

Tapi anda boleh guna pengecualian sekali seumur hidup. Kalau anda guna pengecualian ni, tiada RPGT yang LHDN kenakan.

Cuma, pengecualian ni anda boleh guna sekali je la. Kalau jual rumah lain, anda kena bayar cukai.

ejen hartanah selangor & kuala lumpur

Nak dapatkan pengecualian ni ada syarat dia. Yang utama rumah tu mesti bangunan kediaman. Syarat lain anda boleh rujuk dekat laman web LHDN.

3) Anda mungkin kena bayar penalti lock-in period

Bergantung kepada perjanjian anda dengan bank, anda mungkin kena penalti kalau jual rumah sebelum 5 tahun. Penalti ni biasanya 3-5% dari jumlah pinjaman pokok.

Katakan pinjaman pokok RM100,000 dan penalti 3%, jumlah yang anda kena bayar kepada bank ialah RM3,000.

Yang paling mustahak sekali, anda kena tengok balik letter of offer bank yang anda tandatangan tu. Lock in period tu boleh jadi ada atau boleh jadi tiada.

Kalau ada, berapa kadar dia. Dan berapa lama tempoh lock-in tu.

4) Pinjaman bank anda tak banyak kurang

Kalau anda nak jual rumah baru beli kurang lima tahun, jangan expect baki pinjaman anda tu dah banyak kurang.

Bayaran bulanan anda untuk lima tahun awal ni, majoritinya untuk bayar faedah / keuntungan bank je.

Jadi keuntungan anda boleh jadi tak banyak sangat.

5) Kenaikan harga rumah tak signifikan

Untuk rumah yang baru beli, kenaikan harga rumah boleh jadi tak banyak.

Terutama dalam pasaran yang agak lembap sekarang ni dan juga projek yang baru siap.

Pasaran sekarang tak macam 10 tahun dulu. Bila projek siap, harga terus naik.

Sebaliknya, masa siap tu, jiran anda pun tengah jual juga. Penawaran melebihi permintaan.

Jadi harga pun tidaklah tinggi sangat.

6) Anda tak boleh jual rumah kos rendah bawah 5 tahun

Untuk rumah yang berstatus kos rendah di Selangor, anda mesti dah miliki rumah tu sekurang-kurangnya 5 tahun.

Kalau tak cukup 5 tahun, Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor tak bagi anda jual dan buat pindah milik.

Untuk rumah kos rendah di Kuala Lumpur pula, anda perlu miliki rumah tu sekurang-kurangnya 10 tahun, baru boleh jual.

Tempoh milikan ni pihak berkuasa akan tengok dari tarikh perjanjian jual beli, masa anda beli rumah sebelum ni.

Penutup

Itu sahaja dari saya dalam artikel ni. Baca artikel berikut untuk tahu lebih lanjut tentang proses jual rumah:

Leave a Comment