Anda nak jual atau beli rumah cash? Alhamdulillah rezeki tu. Tak ramai penjual yang dapat pembeli cash. Begitu juga tak ramai yang mampu beli rumah tunai. Apa pun, prosedur jual beli rumah tu kena betul. Dalam artikel ni saya nak kongsikan tentang proses jual beli rumah secara tunai.
Macam Mana Cara Dan Proses Jual Beli Rumah Secara Tunai
1) Tandatangan surat setuju jual beli
Bila pembeli dah minat dengan rumah…
Saya cadangkan pembeli dan penjual tandatangan surat persetujuan jual beli. Kalau jual beli dengan ejen hartanah kita panggil ni sebagai offer to purchase.
Kenapa kena ada surat tawaran jual beli ni? Sebabnya nak minta peguam siapkan perjanjian jual beli tu mungkin ambil masa seminggu atau dua minggu.
Jadi dalam tempoh seminggu dua tu, kita nak pastikan hak pembeli dan penjual terjaga.
Penjual mestilah tak mahu pembeli tiba-tiba batalkan belian.
Pembeli pun begitu juga. Mesti mereka nak penjual tu serius nak jual rumah.
Kalau jadi dua perkara tu, pembeli dan penjual mungkin kena penalti berdasarkan terma yang dah dipersetujui.
Kemudian, pembeli bayar wang tanda jadi kepada peguam atau ejen hartanah.
Elakkan bayar terus kepada penjual. Elakkan juga bayar penuh harga beli kepada mereka.
Kadang-kadang pembeli mungkin rasa excited nak dapat rumah. Cash pula ada kat tangan. Terus bayar tunai dekat penjual.
Sedangkan…
Jual beli tu belum muktamad. Kita belum tahu apa status hartanah tersebut. Boleh pindah milik ke tidak.
2) Lantik peguam untuk buat perjanjian jual beli
Pembeli kemudian akan dapatkan khidmat peguam untuk buat perjanjian jual beli.
Selain perjanjian, peguam juga akan cek status hartanah tersebut melalui carian rasmi pejabat tanah.
Mereka juga akan buat carian kebankrapan, untuk pastikan pindah milik tu boleh dibuat.
Dua perkara ni kritikal untuk pastikan rumah tu tiada masalah untuk buat pindah milik
Sebab tu lah sekalipun anda jual beli rumah secara tunai, saya sangat sarankan anda dapatkan khidmat peguam walaupun mungkin proses tu anda boleh buat sendiri.
Sebagai pembeli, dapatkan juga nasihatkan peguam macam mana nak buat bayaran harga rumah.
Biasanya setelah perjanjian jual beli ditandatangani, peguam akan minta deposit 10% dijelaskan pada waktu ini.
Pembeli tak wajib jelaskan amaun penuh harga belian.
Kalau peguam minta bayaran penuh, pastikan amaun tersebut tidak dibayar kepada penjual sehinggalah pindah milik dah dibuat kepada pembeli.
3) Peguam buat pindah milik
Peguam kemudian akan buat proses pindah milik. Kalau penjual masih ada hutang dengan bank, peguam akan minta wang dari pembeli untuk jelaskan hutang tersebut.
Dah selesai bayaran, barulah bank penjual keluarkan geran asal dan serahkan kepada peguam.
Sebelum peguam daftarkan geran tersebut kepada nama pembeli, peguam akan minta baki bayaran harga belian daripada pembeli untuk didepositkan dalam akaun amanah.
Masa ni duit tu ada dengan peguam lagi.
Ye lah, nak tukar nama ni mestilah peguam kena pastikan duit tu ada dulu.
4) Peguam bayar keuntungan penjual
Bila dah tukar nama, peguam akan minta penjual untuk buat serahan kunci kepada pembeli.
Kalau tiada masalah, barulah peguam akan bayar baki harga rumah kepada penjual.
Peranan Peguam Penting Dalam Jual Beli Rumah Tunai
Ada setengah orang kata jual beli cash ni senang je. Buat sendiri pun boleh kalau penjual memang dah tiada hutang dan geran dah ada dengan mereka.
Tapi macam-macam boleh berlaku.
- Penjual buat pindah milik tapi pembeli tak bayar wang tunai. Rumah tergadai. Duit tak dapat.
- Atau sebagai pembeli pula, anda bayar duit kepada penjual tapi rumah ada kaveat. Atau penjual bankrap. Tak boleh buat pindah milik.
Dua situasi ni nampak remeh. Tapi kalau berlaku, menangis tak berlagu.
Kalau proses tu melibatkan bank pula, ianya bertambah rumit. Semakin banyak faktor yang boleh menyebabkan jual beli rumah secara tunai tu bermasalah.
Sebab tu lah peranan peguam tu penting.
Baca juga: Tips Lantik Peguam Hartanah Untuk Jual Beli Rumah
Peguam akan bertindak sebagai orang tengah. Mereka akan pastikan duit pembeli tu dibayar dengan cara dan pada waktu yang sepatutnya.
Mereka juga akan pastikan rumah tu bebas dari perkara-perkara yang boleh menghalang pindah milik untuk penjual.
Berapa Lama Proses Jual Beli Rumah Cash Ni
Ramai orang ingat jual beli rumah ni boleh selesai seminggu dua. Tak betul tu.
Proses ni hanya cepat kalau kalau rumah tu penjual dah habis bayar dan geran dah ada kat tangan. Peguam terus boleh buat pindah milik kalau tiada sekatan.
Kalau ada sekatan, peguam kena pastikan syarat tu dipenuhi dulu. Contoh sekatan ialah rumah leasehold yang perlu dapat kebenaran pindah milik dari kerajaan negeri.
Proses juga akan ambil sedikit masa jika penjual masih ada hutang dengan bank.
Nak tahu berapa lama jangkamasa ni, anda boleh rujuk dekat artikel Tempoh Dapat Duit Jual Rumah.
Daripada jangkamasa dalam posting tu, tolak dua bulan.
Katakan pindahmilik hartanah leasehold ialah 6 bulan, jangkamasa untuk jual beli secara cash ialah 4 bulan (6 bulan tolak 2 bulan)
Tapi ingat, yang saya bagitahu ni anggaran je la. Boleh jadi cepat dan boleh jadi lama sikit bergantung kepada kes jualan anda. Dapatkan nasihat dari peguam untuk lebih butiran.
Penutup
Sekian sahaja dari saya. Semoga artikel ini membantu. Berikut artikel lain yang boleh membantu anda:
Salam, untuk pembelian rumah kedua ada hidden charges lain tak selain dari
Yuran guaman :
1) Penyediaan perjanjian jual beli
2) Penyediaan pindahmilik
3) Penyediaan consent pindahmilik
4) Penyediaan CKHT 2A
Stamping
Carian rasmi
Carian kebangkrapan
Notis taksiran
Daftar pindahmilik
Daftar consent pindahmilik
Daftar tukar nama bangunan
Perjalanan
Pelbagai
Puan dah senaraikan semua jenis kos dalam fi guaman. Cuma ini kebiasannya untuk rumah yang ada geran. Kalau jenis master title, akan ada beberapa kos lain.
Salam . Saya pertanyaan ttg satu unit rumah teres dimana hartanah tersbut tidak mempunyai sijil ccc. Carian dibuat didapati kawasan teres perumahn disitu telahpon di listkan sebagai abandon projek @ perumahan projek terbengkalai 20 tahun lepas. Soalannya ..adakah kalu mahu membeli rumah ni.. adakah dibolehkan atau jelaskan permasalah yg mungkij timbul. Untuk pergetahuan .. ranai juga penduduk disitu sudah menduduki kawasan perumahan disitu bertahun lama dimana kemudahan air dan elektrik meang ada disitu. Syabas n tnb. Yg menjadi adakah boleh dipindah milik dan risiko memiliki rumah teres berstatus sot ni. Terima kasih
Salam tuan. Untuk rumah yang tak ada CCC ni, cabaran utama adalah dekat permohonan pinjaman nanti. Bank akan bagi pinjaman ikut nilai tanah sahaja. Dari segi penilaian hartanah, struktur bangunan yang tak ada CCC tak dikira.
Salam tuan saya nak beli rumah kos rendah .owner nak deposit apa patut saya buat
Salam. Dalam kes puan ni, kena bincang dengan penjual dan beritahu situasi puan. Dalam pasaran sekarang, kalau pemilik berkeras nak deposit, rumah dia akan lambat terjual. Pembeli kemudian pun mungkin akan minta terma yang sama. Boleh juga cuba propose untuk bayar melalui KWSP.
Salam tuan, kalau rumah kita beli dengan pemaju secara tunai biasanya geran rumah boleh kita dapat dalam berapa bulan dan dimana kita perlu ambil geran tersebut. T.kasih
Puan, mohon maaf. Saya tak boleh bagi anggaran jangkamasa kerana info tak cukup.
Puan boleh rujuk ke artikel ni ya:
Berapa Lama Proses Dan Tempoh Dapat Duit Jual Rumah?
Salam tuan kalau beli rumah Tunai daripada agen pemaju prosesnya berapa lama ya.. rumah dh siap.
Salam. Kalau beli rumah siap dari pemaju secara tunai:
1) Rumah ada geran individu / strata, freehold – dalam 2-3 bulan
2) Rumah ada geran individu / strata, leasehold – dalam 5 bulan
Sekiranya beli rumah melalui tunai, dan rumah tersebut masih dlm pembinaan, bayaran dilakukan melalui progress payment, bagaimanakah caranya untuk menukar mode tunai kepada loan bagi rumah dlm progress pembinaan?
Salam tuan. Proses ni kena rujuk dengan pemaju. Secara logiknya boleh buat, tapi pemaju kemungkinan ada syarat tertentu.